Monday, October 17, 2011

Hari Minggu di Kampong Rambai (Bahagian 1)

     Suasana yang begitu tenang dan damai dapat kurasakan sepanjang ku berada di rumah nenekku. Aku dan adikku berehat di ruang tamu rumah nenek sambil menonton Harry Potter and the Half Blood Prince. Sambil itu aku mendengar nenekku, Nini Laki yang rancak bercerita dengan ayah saudaraku, Unlce Ilai. Walaupun perbualan itu hanya di antara mereka berdua, namun hatiku terhibur mendengar suara nenekku yang seorang itu. Suara yang sentiasa ku rindukan setiap kali aku pulang ke bandar. Suara yang buat aku sentiasa bahagia setiap kali aku berada di kampung. Dan suara itu jugalah yang pernah buatku menangis di suatu ketika dahulu sewaktu musibah menimpa keluarga kami.

     Aku sedang seronok mendengar cerita nenekku apabila telefon di rumah berbunyi. Aku terus menjawab panggilan tersebut dengan andaian bahawa panggilan itu adalah untuk Nini Laki.

      "Hello? Buleh cakap sama Noni?" kedengaran suara seorang wanita di hujung talian.
     "Mm-hmm," jawabku tidak pasti. Aku tertanya-tanya siapakah gerangannya yang menelefon aku pada waktu itu.
     "Hello? Noni kah tu?" tanyanya lagi. Kurang pasti.
     "Mm-hmm," jawabku lagi. Aku masih tidak kenal pemilik suara tersebut.
     "Noni! Kau kah tu?"
     "Hahaha! Awu, aku bah ni! Hehehe..pikirku siapa tadi! Kenapa anti?" aku tertawa setelah aku cam suaranya. Rupa-rupanya pemilik suara itu ialah ibu saudaraku yang ku panggil dengan gelaran Anti Yalah.
     "Hahaha! Kau ani. Anti pikir bukan kau. Pukul berapa kau balik karang?" Anti Yalah pun turut tertawa. Dia sudah masak dengan perangaiku yang suka menyaya. Entah, aku pun tidak tahu kenapa. Tapi memang aku suka sangat menyakat ibu saudaraku yang seorang itu. Mungkin kerana aku anggap dia seperti ibuku sendiri. Sedari kecil aku dan anak-anaknya sentiasa bersama-sama; bermain, berkelahi, makan, mandi dan macam-macam lagi. Cuma sekarang hubunganku dengan mereka agak renggang kerana kami jarang berjumpa.

     Perbualan rancakku bersama Anti Yalah membuat Nini Mayang tertanya-tanya. Lalu dia bertanyakan siapa denganku bertelefon sebaik sahaja aku meletakkan gagang telefon yang sudah berumur lebih kurang lima tahun itu. Aku memberitahu bahawa Anti Yalah ingin berjumpa kami dan dia menjemput kami datang ke rumah ibunya di Kampong Rambai kerana dia ingin memberi sesuatu padaku. Jam pada waktu itu baru sahaja menjangkau ke pukul 1 petang. Ini bermakna masih banyak masa untukku berehat dan berbual bersama nenek. 

     *****

No comments:

Post a Comment