Wednesday, November 02, 2011

Ar-Rahman... Ar-Rahim...

      "Masihtah kau sama ia?" tanya si ibu pada anak gadisnya yang seorang itu.
     "Nda lagi. Ia nda lagi mau pikirkan pasal kami," jawab si anak gadis dengan tenang. Dia sudah tidak lagi merasa sedih setiap kali soalan itu datang padanya. Baginya, perkara yang lalu sudah berlalu. Biarkanlah. Yang penting, masing-masing bahagia dengan pilihan sendiri. Hidup yang ada perlu diteruskan. Bukannya untuk meratapi perkara yang sudah lepas. Menangis air mata darah sekali pun, perkara yang sudah berlaku tidak akan dapat dielakkan. Sudah tujuh bulan dia dan lelaki itu mengambil keputusan untuk tidak lagi meneruskan hubungan yang bagaikan tiada ke mana itu. Si lelaki memberikan pelbagai alasan agar mereka jarang berjumpa. Di hantar SMS, si lelaki bagai acuh tak acuh saja membalas. Kadang-kadang langsung tiada balasan. Si anak gadis berasa bagaikan digantung tak bertali. Akhirnya, setelah hampir empat tahun menyulam kasih, hubungan itu berakhir begitu saja. Tiada dendam. Tiada marah. Cuma air mata. Hendak di pujuk si lelaki, dia tetap tidak berganjak dari keputusannya. Si anak gadis merasa apa yang dilakukannya selama ini sia-sia. Tidak dihargai. Tidak dipeduli.

     "Biarkan tia. Jangantah dipikirkan lagi. Sia-sia saja tu. Baiktah ko concentrate pelajaranmu saja. Mustahil nada jodohmu. Ada tu nanti. Sabar saja, " nasihat si ibu dengan panjang lebar. Si anak gadis tetap mendiamkan diri sambil memandu dengan tenang. Si ibu faham akan perasaan anak gadisnya itu. Walaupun si anak gadis jarang meluahkan perasaannya pada ibunya, namun si ibu tahu akan isi hati anak gadisnya.  Dia tahu betapa terlukanya hati anak gadisnya. Dia tahu betapa sayangnya anak gadisnya pada lelaki itu. Dalam diam, si ibu marah kepada lelaki itu kerana telah melukakan hati anak gadisnya.

     "Banyak lagi laki-laki lain yang baik. Baiktah ko belajar saja lagi. Dah atu nanti, dah keraja, ko sendiri puas hati. Usahamu nda sia-sia. Selagi ko masih muda ani. Masih ada tenaga, " nasihat si ibu lagi. Hatinya terasa lapang dan gembira apabila si anak gadis menyatakan hasratnya untuk menyambung pelajarannya ke peringkat master. Dia tidak peduli berapa banyak wang yang bakal dikeluarkannya. Yang penting, wang itu berbaloi untuk masa depan anak-anaknya. Baginya, itulah pengorbanan seorang ibu demi melihat anak-anaknya berjaya.
     "Nanti kalau sudah kami nda lagi ada, sekurang-kurangnya kamu tinggi pelajaran. Tau jaga diri. Tau behidup, " sambung si ibu. Si anak gadis berasa terharu. Hampir saja dia menitiskan airmatanya.

     "Awu, yatah ku malas mikirkan lagi. Biar cia. Andang ia nda mau sama aku lagi. Malas jua ku paksa," sahut si anak perlahan. Hatinya lapang berbicara topik itu bersama ibunya. Dia pun berasa gembira kerana ibunya menyokong tindakannya itu. Dia tahu, ibunya faham perasaannya. 
     "Banyak jua bini-bini masa ani akhir kawin. Ada yang kawin, tapi sekajap saja. Laki-laki ani, ada yang baik, ada yang inda. Hati-hati saja kalau pilih lelaki ani. Ada yang jenisnya suka mengambil kesempatan jua," sambung si ibu lagi. Dia memang sudah lali mendengar kisah pasangan yang bercerai-berai dan konflik rumah tangga sama ada dari pejabatnya ataupun dari saudara-maranya. Dia tidak mahu perkara itu berlaku pada dirinya mahupun pada anak-anaknya. Dia bersyukur kerana punya suami yang begitu penyayang dan memahami. Suami yang mencintainya sepenuh hati. Ayah yang baik bagi anak-anaknya. 

     Si anak gadis hanya tersenyum mendengar nasihat ibunya. Baginya, nasihat itu amat-amat berguna untuknya. Dia berazam untuk melanjutkan pelajarannya ke peringkat master dan akan sentiasa fokus pada kejayaan di dalam hidupnya. Dia sedar bahawa perjalanannya masih jauh. Masih banyak yang ingin dicapai di dalam hidupnya. Hasratnya untuk menjadi seorang Muslim pun belum lagi kesampaian. Dan dia tahu, dia percaya bahawa suatu hari nanti, dia akan dapat merealisasikan impiannya itu. Dia tahu bahawa berakhirnya hubungan cintanya bersama si lelaki ada hikmah yang tersembunyi. Buktinya, sekarang dia berasa lebih bahagia bersama keluarga dan rakan-rakannya yang memahami. Bukan seperti dulu. Sekarang dia berasa lebih bersyukur dengan apa yang ada di dalam hidupnya. Dia lebih berfikiran luas dan lebih berani untuk menghadapi dan menyelesaikan masalah sendiri. Dan yang penting, dia sudah tahu bagaimana caranya untuk menghargai dan menyayangi diri sendiri sekali gus menghargai dan menyayangi pemberian Tuhan pada dirinya, iaitu jasad, fikiran dan kehidupan yang sempurna. Dan dari sana, dia sudah mula merasa bahawa dia semakin menyayangi Tuhan yang dipercayainya juga menyayangi dirinya. Tuhan Maha Penyayang... Ar-Rahman...Ar-Rahim...

No comments:

Post a Comment