Sunday, November 13, 2011

I Love You, Nana

Aku ada seorang sepupu perempuan. Dia lahir pada 20 haribulan Februari, 2002. Double 2002. Cantik kan? :) Biar ku mulakan kisah ini dari awal.

Waktu itu petang. Aku tidak ingat jam berapa. Yang ku ingat, waktu itu aku sedang menunggu jam untuk pergi ke sekolah ugama sesi petang. Aku sedang bersedia dengan uniform sekolah apabila telefon rumah berbunyi.
"Hello? Noni?" kedengaran suara seorang wanita yang ku kenali. Anti Yalin. Isteri kepada adik ayahku. Ibu saudaraku.
"Hello? Yep," jawabku hairan. Tidak pernah sebelum ini Anti Yalin telefon aku.
"Bah, siapa nama baby anti ni?" tanyanya dengan nada gembira.
"Hah?!" aku semakin hairan. Aku tahu dia mengandung waktu itu. Tapi aku tidak sangka dia sudah melahirkan. Memang sudah lama aku tidak berjumpa dengannya ketika pertama kali aku mendapat tahu bahawa dia mengandung.
"Anti beranak sudah! Baby girl ni," jawabnya lagi. Aku terkejut. Kehilangan kata-kata.
"Hah?!" aku betul-betul hairan.
"Kau jua janji dulu. Kalau baby anti bini-bini, kau bagi nama. Ingat?"
"Waaa...!!! Bini-bini wah?? Congrats anti!!" balasku. Aku gembira. Aku baru teringat akan janjiku pada suatu ketika dahulu. 
"Bah, apa namanya?" tanyanya lagi. 'Alamak!' bisik hatiku. Panik. Aku langsung belum terfikir apa-apa lagi. Aku sebenarnya lupa akan janjiku padanya. Aku memarahi diri sendiri di dalam hati kerana boleh lupa janji.
"Urm...Nur Ratna Sari ok anti?" jawabku bersahaja. Entah macamana boleh aku boleh terfikir akan nama itu. Aku tahu nama anak perempuannya yang pertama ialah Nur Lela Sari. Ayahnya inginkan nama yang ada perkataan "Nur" dan "Sari". 
"Uncle mu cakap ia nda mau nama atu sebabnya sama nama Dewi," kata Anti Yalin. Nama sepupuku yang seorang lagi Norratna Dewi.
"Um..Nur Liyana Sari?" lancar saja fikiranku pada petang itu. Kata Anti Yalin, itu nama neneknya. Suaminya juga keberatan. Akhirnya, aku meminta sedikit masa untuk memikirkan hal itu. aku betul-betul terkejut. Dan terharu... Petang itu di sekolah, fikiranku melayang. Memikirkan nama baby baru.

Pada malamnya, aku menelefon Anti Yalin. Aku berhasrat untuk menamakan baby baru itu dengan nama Nur Ratna Sari kerana itulah nama yang pertama datang di dalam fikiranku. Dan nama timangannya ialah Nana. Entah macamana, ayah saudaraku terus bersetuju. Dia telah berubah fikiran. Aku gembira. Akhirnya, Nur Ratna Sari menjadi pilihan untuk anak perempuannya yang kedua itu. Dan aku menganggapnya sebagai adikku sendiri...

Kisah itu berlaku lebih kurang sembilan tahun yang lalu. Sekarang Nana sudah menjadi seorang budak yang sangat cantik dan pintar. Dia juga seorang yang bersopan-santun, rajin dan hormat kepada orang tua. Memang begitu niatku sewaktu aku menamakannya dahulu. Aku berniat agar suatu hari nanti anak ini akan membawa kebahagiaan kepada keluarganya; menjadi anak yang pintar dan hormat kepada orang tuanya. Dan memang betul, dia memenuhi ciri-ciri seperti itu. Dia juga rajin membantu ibunya dan amat menyayangi keluarganya. Aku terharu.

Tadi aku berjumpa dengannya di majlis keramaian saudara kami di Kg. Ukong. Ku perhatikan wajahnya sewaktu dia bercerita denganku. Anak perempuan itu begitu cantik. Dengan kulitnya yang cerah, rambut hitam yang lebat dan anak mata berwarna coklat yang sentiasa bersinar, sesiapa yang melihatnya akan terpesona. Aku boleh membayangkan suatu hari nanti dia akan menjadi kebanggaan keluarganya. Dan juga kebanggaanku. Dulu, ayah saudaraku, Uncle Etus, pernah memberitahuku bahawa wajah Nana seiras dengan wajahku. Namun, aku melihat Nana mempunyai lebih daripada itu. Selain daripada cantik dan comel, dia mempunyai perwatakan diri yang jauh lebih baik. Perwatakan yang pernah aku idamkan untuk anak-anakku nanti. Ah, aku amat sayangkan dia. Aku berdoa agar hidupnya dan keluarganya sentiasa dilimpahi dengan rezeki yang tidak putus-putus serta kebahagiaan yang tidak terhingga. Amin... I love you, Nana :)

No comments:

Post a Comment