Saturday, December 17, 2011

Badai kini reda~

     Jam sudah menunjukkan pukul 1:10 pagi. Mata ini masih belum mengantuk. Mungkin gara-gara cappuccino yang aku minum petang tadi di Secret Recipe. Tetapi, mindaku teringat-ingat apa yang terjadi petang tadi. Walau hanya sekejap, tapi ia bagaikan telah membuat luka lama berdarah kembali.

     Aku dan Adik baru sahaja menuruni escalator The Mall setelah menikmati high tea di Secret Recipe. Perut ini terasa terlalu kenyang setelah kumanjakan lidahku dengan hidangan Oreo Cheesecake dan secawan cappuccino, minuman kegemaranku. Kaki ini melangkah perlahan, ingin menuju ke luar bangunan yang mula dibanjiri oleh orang ramai. Entah apa yang ada pada petang itu sehingga kawasan lobi dipenuhi oleh para remaja yang bagiku merosakkan suasana damai di situ. Hati sudah tidak keruan melihat pelbagai kerenah remaja yang belum kenal dunia. Ketika itulah mata ini tertangkap kelibat seseorang. Seseorang yang pernah berada di hati ini dulu. Dia berada di sana...menaiki escalator. Bersama seorang perempuan. Hati ini bergetar. Tidak berani lagi melihat ke arah yang sama lantas pandangan ku alihkan ke tempat lain. 'Apakah benar itu dia?' bisik hatiku. 

     Aku hanya melayan keletah Adik tetapi fikiranku masih tertumpu ke situ. Tetap memikirkan sama ada itu dia atau pun bukan. Dari gaya rambutnya, struktur wajahnya, caranya berpakaian... Memang sebiji macam dia. Aku tetap memujuk hatiku bahawa itu bukan dia. Kerana aku hanya melihat sekilas dari tepi wajahnya. Namun naluriku menyatakan itu memang dia. Hampir 4 tahun bersama, aku sudah faham akan gerak gerinya. Gayanya pun sudah aku maklum. Tiba-tiba hati ini berasa sakit. Sakit yang teramat sangat. Sakit yang pernah dulu ku rasakan. Aku fikir rasa ini tidak akan berulang lagi. Tetapi ia datang lagi.

     Di sepanjang perjalanan ke rumah, hatiku tidak keruan. Ku cuba memujuk hatiku lagi hingga ke malam. Aku pergi shopping bersama family. Cuba untuk melupakan. Namun, hati ini tetap meronta-ronta. Sampai ke rumah, aku cuba lagi memujuk hatiku yang sudah semakin merajuk. Menonton Maharaja Lawak Mega tetap tidak mampu membuat hatiku tenang. Akhirnya, aku mengalah. Airmata ini mengalir jua. Tidak mampu ku tahan. Ya Allah, apakah ertinya semua ini? Kalaulah itu bukan dia, mengapa aku bersedih? Kan tiada guna. Dan kalaulah itu memang dia, mengapa aku harus berasa sakit? Kan semuanya sudah berakhir. Tiada lagi kisah itu. Adakah Engkau memberitahuku bahawa dia sudah bahagia kini? Apakah Engkau mahu aku tetap melupakan dia buat selama-lamanya? Aku tidak mengerti. Hati ini tetap berbahas. Minda menjadi kusut.

     Dua orang temanku ku beritahu mengenai perkara ini. Alhamdulillah, setelah sesi meluahkan perasaan, aku berasa tenang kembali. Walaupun singkat, namun gejolak di hati sudah mulai tenang. Badai yang melanda sudah reda. Entah-entah tadi syaitan sengaja membisik hatiku begitu agar aku berasa sedih dan kecewa. Namun dengan sokongan dan kasih sayang dari teman-temanku, hatiku kembali kuat. Malah lebih kuat dari sebelumnya. Minda ku terasa jernih semula. Kabut awan hitam tadi sudah berlalu. Past is past. Only Allah who knows the best. Thank You for giving me lovely friends. Sekarang aku sudah boleh tersenyum kembali. Airmata mengalir gembira dan aku bersyukur kerana perasaan bahagia sudah kembali ke hati, dengan izin-Nya jua. Alhamdulillah~

No comments:

Post a Comment