Thursday, December 08, 2011

Dan Bila Hati Berbicara --- 2

        Aku memerhatikan butiran hujan yang turun dengan perlahan. Sesekali angin lembut meniup setiap butiran hujan lalu butiran-butiran itu singgah di cermin jendela bilikku. Senghaja ku buka langsir jendela seluas-luasnya agar aku dapat memerhatikan ciptaan Allah yang begitu sempurna. Langit, awan, hujan, bukit, hutan... Begitu indahnya... Begitu sempurna... Hati berbisik bermunajat. Memuji kebesaran-Nya. Allah mengurniakan hujan di tengahari ini agar makhluknya tidak merasa bahang panas terik sang mentari. Hujan rahmat, hujan rezeki. Alhamdulillah~

       Fikiranku melayang memikirkan hidupku dan apa yang telah ku lalui di sepanjang tahun ini. Sejak perpisahan itu, hidupku terasa semakin bahagia. Semakin berwarna. Dan semakin ceria. Aku bukannya menyesal dengan apa yang telah terjadi di antara kami berdua. Sebaliknya, aku berterima kasih dan bersyukur kerana pernah dipertemukan dengannya. Kalau bukan kerana dia, aku tidak akan menjadi seperti aku sekarang. Kalau bukan kerana dia, aku tidak akan belajar erti kehidupan. Kalau bukan kerana dia, aku tidak akan tahu apa itu cinta. Apa itu sayang. Apa itu hormat. Dan apa tujuan sebenarnya aku berada di sini. Di dunia ini. Segala-galanya ku pelajari dan sedari setelah perpisahan itu terjadi. Aku belajar menjadi kuat. Aku belajar menyayangi dan menghormati diri ini. Aku belajar menghargai. Dan yang paling penting, aku belajar menyayangi semua yang ada di kelilingku. Keluarga dan kawan-kawan adalah permata hidupku sekarang. Cintaku hanya untuk mereka. Sayangku hanya kucurahkan pada mereka. Kasihku akan sentiasa mekar untuk mereka.

Dan aku... Akan perlahan-lahan berhijrah menuju ke arah kehidupan yang lebih baik. Mempelajari untuk mencapai kehidupan yang lebih bahagia. Memahami dan mendalami tujuan sebenarnya aku berada di dunia ini. Semoga aku akan dapat mencapai tujuan hidupku yang sebenarnya. Semoga cahaya itu akan menjadi milikku. Dan semoga rahmat itu akan sentiasa menyinari hidupku dan keluargaku...

Tanpa pertemuan itu, aku tidak mungkin akan berada di sini. Tanpa dia, aku tetap buta menilai di antara baik dan buruk. Dan tanpa perpisahan itu, aku tidak akan pernah belajar menghargai sebuah pertemuan.

Aku perhatikan lagi hujan yang turun...
Hati bermunajat lagi...
Hanya Engkau tahu apa yang terbaik buatku...

No comments:

Post a Comment