Thursday, December 29, 2011

Pada Suatu Malam...

     Kelihatan kelibat seorang wanita muda berumur di dalam lingkungan 20-an. Dia memakai baju kurung berwarna putih, bercorak bunga halus berwarna pastel. Bertudung labuh hitam menutup dada. Aku hanya memerhatikannya dari jauh. Dia sedang sibuk berurusan dengan tukang jahit lelaki berbangsa India di dalam kedai jahit yang sudah berumur lebih dari 10 tahun itu. Aku dan adik-adikku duduk menanti di dalam kereta manakala kedua orang tuaku juga berurusan bersama tukang jahit itu di sana. Aku lantas mengalihkan pandanganku, sambil bercerita dengan adik-adikku. Jari-jemariku turut sibuk melayan Twitter dan Facebook. Digital Age Literate lah katakan.

     Setelah lebih kurang 10 minit, wanita muda itu melangkahkan kaki keluar. Tatkala dia memalingkan wajahnya ke pintu kedai, aku terkejut. Rupa-rupanya wanita itu adalah kawanku sewaktu di sekolah menengah dahulu. Ireve namanya. Seorang wanita berbangsa Cina. Sekarang namanya bukan lagi Ireve, tetapi Ameerah. Dia baru sahaja memeluk agama Islam tidak lama dahulu. Dalam tahun ini juga. Aku terpana seketika. Memandangkan kereta kami berada agak jauh dari kedai itu, dia tidak dapat melihat aku. Dia bersama dengan seorang lelaki, yang juga teman sekolahku dahulu. Kini lelaki itu sudah menjadi tunangannya. Mereka berdua melangkahkan kaki ke kereta Mini Cooper yang terletak tidak jauh dari situ dan berlalu pergi. 
 
     Tiba-tiba hatiku terusik. Tiba-tiba Twitter dan Facebook ku, ku lupakan begitu sahaja. Fikiranku melayang. Hatiku berasa gembira untuk mereka berdua. Cinta yang disulam bersama sejak di bangku sekolah kini akan terbukti dengan ikatan perkahwinan yang khabarnya akan diadakan pada hari Ahad ini, 1 Januari 2012. Hatiku terusik lagi. Bukannya kerana khabar perkahwinan mereka tetapi dengan Ameerah, temanku itu. 

     Ingin saja aku mengalirkan airmataku pada waktu itu. Imejnya yang bertudung dan berbaju kurung masih bermain-main di fikiranku. Walaupun dia hanya mengenakan pakaian yang begitu ringkas tetapi aku melihat dia jauh lebih daripada itu. Dia kini seorang Islam. Wanita Muslimah. Hatiku tiba-tiba jadi cemburu. Cemburu kerana dia sudah bergelar Muslimah. Dia kelihatan begitu sopan dengan hanya berpakaian yang ringkas tetapi menutup aurat itu. Sedangkan aku pada waktu itu hanya mengenakan sepasang jeans ketat dan blouse hitam pendek. Hatiku semakin berdegup kencang. 

     Bagaikan di pancar halilintar, aku tiba-tiba tersedar. Akhir-akhir ini aku sudah lalai dengan penampilan diriku. Aurat dan pakaian sopan sudah jarang berada di mindaku. Selendang dan tudung yang ada sudah jadi perhiasan di bilikku. Jeans dan blouse pendek sentiasa menjadi pilihan.  Ya, mereka yang tahu siapa diriku tidak kisah akan semua itu. Kan aku non-muslim. Tak payahlah nak tutup aurat segala.

     Tapi, aku belajar dari kajianku sendiri dan hasil bacaanku dari artikel-artikel yang berunsur Islam, sekiranya aku ingin menjadi seorang Muslimah suatu hari nanti, perubahan itu mesti bermula dari hati. Bermula dari dalam. Dari segi batin. Bukannya aku ingin menunjuk-nunjuk tetapi aku memang sudah banyak belajar mengenai menjadi seorang Muslimah yang baik. Dan aku telah pun menerapkan unsur-unsur Muslimah yang baik ke dalam diriku perlahan-lahan.  Memang itulah yang sudah aku lakukan sebelum ini.

     Namun, aku manusia biasa. Jiwa ini mudah lalai. Alpa dan lupa. Melihat pelbagai jenis fesyen dan peragaan model dan pelakon membuatku ingin menjadi seperti mereka. Ingin cantik seperti mereka. Ingin bergaya seperti mereka. Tidak kiralah seksi atau tidak. Aurat atau tidak. Yang penting cantik. Dan ringkas. Aku menjadi lupa akan tujuanku, niatku dan apa yang sedang aku lakukan. Aku lupa apa yang patut aku jaga. Aku alpa akan tanggungjawabku. Jaga diri.

     Ya, kes ku ini bukanlah kes yang berat sangat. Hanya dari segi penampilan. Tapi aku bersyukur kerana aku telah diberi kesedaran awal-awal lagi. Secepatnya. Dan aku tidak divert ke haluan yang lebih jauh. Penampilan mencerminkan perwatakan dan aku tidak mahu orang lain memikirkan perwatakanku sebagai seorang wanita murahan. Yang mendedahkan auratnya hanya untuk dipertontonkan oleh kaum berkromosom XY. Ah, aku tiba-tiba saja menjadi sedih memikirkan hal ini. Macamana boleh aku jadi lalai…

     Malam ini fikiranku bergerak pantas. Memikirkan dan me-review apa sahaja usaha dan langkah yang telah aku buat untuk belajar menjadi seorang Muslimah yang baik. Ya, memang banyak.  Aku sepatutnya meneruskan usahaku itu demi mencapai tujuan hidupku. Bukannya hanya dikumpul, tidak dipraktikkan. Apa gunanya ilmu di dada kiranya tidak diamalkan. Kan Allah lebih suka ibadat yang dilakukan sedikit tetapi berterusan daripada ibadat yang dilakukan secara besar-besaran tetapi tidak diamalkan. Hatiku berazam. Berjanji untuk lebih memperbaiki diri. Meningkatkan usaha. Menambahkan ilmu.

     Terima kasih Allah kerana telah memberiku petunjuk pada malam ini. Semoga aku tidak akan lalai lagi… :’)
*now thinking of the year 2011 and what have I accomplished so far.
source : muslimahstyle.wordpress.com

No comments:

Post a Comment