Monday, December 05, 2011

Pak Cik Jual Udang

Petang. Pukul 4:15. Kedengaran bunyi hon kereta di sebelah. Pada mulanya aku tidak menghiraukannya. Mungkin jiran sebelah memanggil keluar anaknya dari rumah. Aku dan adikku terus menonton televisyen. Tidak lama kemudian, kedengaran lagi bunyi hon. Aku jadi rimas. 'Ish, menyampah,' bisik hatiku. Hon sunyi. Lima minit kemudian, ia berbunyi lagi. Kali ini, di depan rumahku. Hatiku mula tertanya-tanya. Aku keluar rumah untuk memastikan dari mana datangnya bunyi hon itu.

Di halaman rumah, aku terlihat sebuah kereta Kijang tua berwarna putih. Di dalamnya, seorang lelaki berumur dalam lingkungan 60 ke 70 tahun. 
"Assalamualaikum," dia memberi salam padaku.
"Waalaikumussalam," aku menjawab.
"Lai, membali udang kau?" dia bertanya. Rupa-rupanya pak cik tua itu menjual udang segar. Aku berminat dan bertanya berapa harganya.
"$12 sekilo Lai. Murah sudah ni ku jual. Tadi di atas $13 ku bagi," Pak cik itu mula menawarkan harga murah. 
"Bah, bulih ku liat udang kita paci?" tanyaku. Dia turun dari kereta dan membuka pintu belakang keretanya. Kelihatan sebuah kotak putih yang besar berisi udang segar. Aku tiba-tiba teringat duit yang ada padaku hanya $6.
"Bisai jua usul udang kita paci. Duitku $6 ganya paci eh. Mau pulang ku membali sekilo ni," jawabku. Aku sudah terbayang sup udang untuk makan malam nanti.
"Bali setangah kilo saja Lai," sahutnya. Aku berfikir sejenak. 'Hm...kalau ada Mummy, pebaik dua kilo ni,' bisikku dalam hati. Aku tahu, ibuku suka sangat makan udang.
"Bah, setangah kilo sajatah paci. Canakan tu banyaknya?" hai..petang-petang begitu pun aku boleh tanya berapa banyak setengah kilo udang. Pak cik tua menimbang udang setengah kilo dan aku berpuas hati. Dia melebihkan sedikit dengan menambah beberapa ekor udang lagi ke dalam plastik.

Setelah selesai berurusan dengan jual beli udang, aku melangkahkan kaki untuk masuk ke rumah. Belum sempat aku pegang tombol pintu, pak cik itu bertanya, "Nda kau keraja Lai?" 
Aku yang sudah lali dengan pertanyaan itu menjawab spontan, "Baruku abis belajar"
"Oh, pom berapa ko Lai?" tanya pak cik itu lagi. 
"Abis UBD. Masa ani masih lagi menunggu," sahutku. Ku lihat pak cik itu sudah mula masuk ke keretanya. Aku fikir dia sudah ingin meninggalkan rumahku.
"Oh, nda batah kau tu Lai. Kana ambil keraja tah ko tu. Macam anak buahku yang seorang. Kana ambil keraja sudah ia. Payah masa ani Lai. Mun nda main urang dalam bah, nada tu kana ambil. Urang masa ani lagi, mun bukan anak **** payah kan dapat tu," Pak cik mula bercerita. Aku hanya tercegat di situ sambil memegang plastik yang berisi udang. Di mindaku hanya terbayang sup udang. Pak cik itu sudah pun menghidupkan enjinnya. Aku baru sahaja berniat untuk masuk ke rumah apabila...

"Jangan kawin awal Lai ah," tiba-tiba sahaja topik pasal kahwin keluar dari mulut Pak cik itu. Aku terkejut.
"Nda eh paci. Alum ku kan kawin eh. Masih awal ni," jawabku. Aku hairan macamana boleh keluar topik itu dari mulutnya. Aku lihat wajahnya begitu serius.
"Berapa umurmu masa ani?" tanyanya.
"Dua puluh lima,"
 "Masih muda tu Lai. Kalau kan kawin, tunggu tah 28 kah, 30 kah. Biar matang dulu pikiran. Jangan macam anak buahku. 16 taun sudah kawin. Anak satu. Ani ari atu ia membagitau ia kan becarai katanya," panjang lagi cerita Pak cik. Aku terkejut. Apakah motif di sebalik pak cik ini menceritakan kisah keluarganya.
"Oh, awal jua ia kawin paci. Lakinya cemana? Kenapa dorang kan becarai?" aku bertanya. Entah mengapa lancang saja mulutku bertanya.
"Katanya nda ia sanggup lagi tinggal sama lakinya. Kana pukul saja bah ia uleh lakinya tu. Banar, alum laki-laki atu bejumpa kediaku tu. Kalau nanti ia jumpa, abis tu ia," Pak cik bercerita dengan penuh emosi. Aku lihat matanya. Aku bagaikan dapat melihat jauh ke dalam anak matanya. Hidup pak cik ini sungguh susah. Aku tiba-tiba rasa kasihan.
"Laki-laki masa ani Lai, payah sikit. Ada yang suka mengambil kesempatan. Tu macam laki anak buahku. Dahnya ada urang lain, bininya nda ia peduli lagi," sambungnya. Aku hanya berdiri di situ. Memikirkan sebab Tuhan menghantar lelaki tua ini untuk menyampaikan hal ini. Aku hanya mampu mengangguk dan tidak berani memberi komen apa-apa.
"Mudahan jua durang nda apa-apa paci ah. Kesian jua nak buah kita," itu saja yang dapat ku luahkan dari mulutku. Terlalu berat bagiku untuk cuba mengerti perasaan orang tua di hadapanku ini.
"Bah Lai, jaga diri bisai-bisai ah," Pak cik tua itu pun mengundurkan keretanya dan berlalu meninggalkan rumahku. Aku hanya mampu tercegat di halaman rumah sambil memerhatikan kereta Kijang tua itu perlahan-lahan keluar dari simpang. Aku berfikir. Dan bersyukur kerana dipertemukan dengan pak cik itu. Kerana dia menyampaikan pesanan tersirat yang begitu bermakna buatku. Dan plastik yang berisi udang segar masih berada di dalam tanganku. Terima kasih Pak Cik yang menjual udang...

No comments:

Post a Comment