Tuesday, December 06, 2011

Tersenyumlah Untuk Hidup

Manakala engkau tersenyum sedangkan hatimu penuh dengan duka nestapa, maka sesungguhnya engkau sedang meringankan beban dan membuka satu pintu untuk kebahagiaan. Jangan ragu-ragu untuk tersenyum kerana di dalam dirimu ada kekuatan besar yang meluap dengan tersenyum. Jangan menekan kekuatan itu kerana dengan menekannya bererti engkau memaksa jiwamu masuk ke dalam botol penderitaan. Tersenyum tidak akan membahayakanmu. Bicaralah dengan orang di sekitarmu dengan bahasa qalbu. Alangkah indahnya bibir kita ketika berbicara dengan bahasa senyum.

Stephen Gazzel mengatakan, "Senyuman adalah suatu keharusan dalam bermasyarakat." Ada benarnya apa yang telah dikatakannya itu, kerana bila anda ingin bergaul dengan orang lain, anda harus bersikap baik dengan mereka. anda harus menyedari bahawa kehidupan bersosial menuntut anda untuk pandai membawa diri dan menyesuaikannya dengan keadaan. Di antara kepandaian itu ialah murah dengan senyuman kerana semua orang pasti senang dengan senyuman. 

Ketika engkau tersenyum di hadapan orang lain, maka engkau sedang memberikan kepada mereka kehidupan yang indah, optimis dan khabar gembira yang mereka harapkan. Namun ketika anda menemui orang lain dengan wajah kusut dan garang, maka sesungguhnya anda telah menyeksanya dengan hal itu serta mengeruhkan suasana indah dan jernih dari kehidupan mereka. Jadi kenapa anda rela menjadi penyebab kesengsaraan orang lain?

Source:
Jangan Bersedih : Jadilah Wanita Yang Paling Bahagia
Dr. 'Aidh bin Abdullah Al-Qarni

No comments:

Post a Comment