Tuesday, December 20, 2011

Wahai Semut

     Pagi-pagi lagi aku sudah menikmati Mark & Spencer's Dark Chocolate pemberian kawan Moni, Tiffany, sepulangnya dari Kuala Lumpur. Aku ingin aliran darahku mempunyai antioxidants yang boleh memelihara tubuhku dari proses penuaan. Aku duduk bersendirian di meja makan sambil menikmati biskut yang bersalutkan dark chocolate itu. Mmm...nikmatnya... Sambil aku makan, aku tweeting bersama rakan-rakanku, Sut, Zira dan Nad. Hai, pagi-pagi sudah riuh mentions ku. 

     Selesai saja aku makan biskut coklat itu, aku duduk diam. Memikirkan dan merancang masaku yang ada untuk hari ini. Sambil itu juga, aku memerhatikan beberapa ekor semut sedang rancak mengangkut cebisan-cebisan kecil biskut yang ku makan tadi. Fikiranku mula tertumpu pada makhluk itu. Tiba-tiba mindaku berfikir, 'Rajin jua samut ani. Nda ia buang peluang ani bah' Aku memerhatikan lagi. kini sudah ada lima ekor semut sedang mencari-cari cebisan biskutku. Ku biarkan saja dan terus ku perhatikan mereka. Mereka kelihatan begitu gembira kerana telah dikurniakan rezeki di waktu pagi.

     Alangkah indahnya ciptaan Tuhan. Dari memerhatikan seekor semut, mindaku mula berjalan dan berfikir mengenai ciptaan-Nya ini. Sedang kan semut lagi berusaha untuk mencari rezeki di pagi hari, inikan pula manusia. Semut-semut itu tidak melalaikan masa yang mereka ada dan tidak mensia-siakan peluang yang ada di hadapan mata. Mereka berani mengambil risiko demi mencari rezeki. Mereka tidak takut dan langsung tidak mengalah (walaupun aku cuba untuk menghalang perjalanan mereka dengan jariku). Mereka mencari dan terus mencari cara agar mereka dapat membawa cebisan biskut itu ke tempat mereka. Alangkah indahnya ciptaan Tuhan!

     "Maka tersenyumlah Nabi Sulaiman mendengar kata-kata semut itu dan berdoa dengan berkata: Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai dan masukkanlah daku dengan limpah rahmatMu dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh". (Surah An-Naml, ayat 19)

     Aku tersenyum. Hatiku berasa riang. Di awal pagi lagi, Allah telah mengajarku sesuatu. Dia mengajarku agar tidak menyerah kalah di dalam mencari rezeki yang halal. Rezeki-Nya ada di mana-mana. Yang penting, usaha dan terus berusaha. Kegagalan bukan bermakna kalah. Kegagalan bukan bermakna aku harus berhenti. Kegagalan membawa erti bahawa akan ada lagi lapangan yang lebih baik di hadapan. Kegagalan mengajarku untuk memperbaiki kesilapan. Kegagalan juga mengajarku erti kesabaran. Allah tahu apa yang mampu aku kerjakan. Dia mahu aku berusaha. Dia tidak mahu melihat aku bermalas-malasan. Dia tidak mahu aku mengeluh. Dia mahu aku mengharap dan berdoa pada-Nya. Allah Maha Kaya. Rezeki-Nya meliputi seluruh alam semesta. Usaha, doa dan tawakkal. Insya Allah, Dia akan membantu.

Kalau daya usaha sejuk, janganlah mimpi untuk sampai ke kemuncak. - Titah KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah di Majlis Konvokesyen UBD 2011

Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata): “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir”. (Surah Al-Baqarah ayat 286)

source : Google image

2 comments:

  1. Awih awih! Dengan D.U.I.T, Doa, Usaha, Ikhtiar dan Tawakal, insyaAllah apa - apa yang di kerjakan dan impikan akan tercapai. Mudh2an tani dpt kerja tetap soon, Amin Ya Rabbal Alamin~ ^_^

    ReplyDelete
  2. Amin amin amin~ :) insya Allah Nad~ :)

    ReplyDelete