Monday, January 09, 2012

Aku cinta padaMu

Bukan mudah menerima hakikat. Bukan senang menerima kenyataan. Apabila hakikat itu adalah satu perkara yang pahit untuk di telan. Satu hal yang tidak pernah terlintas di minda. Dan apabila satu keputusan terpaksa dibuat. Tiada pilihan. Tiada belas ehsan. Akhirnya, berlakulah perpisahan itu. Perpisahan yang membuat hati ini merana. Perpisahan yang membuat hati ini menangis. Meronta. Merintih. Namun, tangisan, dan rintihan tidak berguna. Cinta yang disemai telah dibunuh. Sayang yang dicurahkan telah disia-siakan. Dan kepercayaan yang diberi telah dikhianati. Di manakah silapnya?

Di awal perpisahan, semuanya kelam. Gelap gelita. Tiada cahaya. Hidup bagaikan tiada makna. Semua yang dipandang bagaikan lembaga hitam yang menakutkan. Mengerikan. Kepercayaan diri telah hilang serta-merta. Hati menjadi semakin rapuh. Jiwa menjadi kosong. Fikiran lumpuh. Di manakah silapnya?

Namun, masih ada yang sayang. Kerana sayang itulah hati ini bangkit kembali. Jiwa yang merundum kembali bertenaga. Fikiran mula giat mencari jalan keluar. Keluar dari kepompong kesedihan. Keluar dari pagar kecewa. Keluar dari cengkaman lembaga yang menakutkan. Ingin bebas! Bernafas!

Terima kasih Tuhan kerana membuat dirinya pernah menjadi sebahagian daripada hidup ini. Kalau bukan kerana dia, aku tidak akan menjadi kuat seperti sekarang. Aku tidak akan menjadi lebih berani. Aku tidak akan pernah mengerti tujuan hidupku kini. Dan aku tidak akan pernah memahami tujuan pertemuan dan perpisahan itu. Dan aku juga telah belajar untuk menyayangi dan menghormati diri ini. Terima kasih Tuhan.

Aku tidak menyesal dengan pertemuan itu. Aku juga tidak menyesal dengan perpisahan itu. Malah aku bersyukur kerana telah banyak aku pelajari dan fahami. Perpisahan itu telah membuka pandanganku luas seluas luasnya mengenai hidup ini. Perpisahan itu telah mengajar aku erti cinta yang abadi. Erti sayang yang tulus. Erti kasih yang suci. Terima kasih Tuhan.

Senaskhah tafsir Al-Quran yang telah dia hadiahkan dulu akan menjadi teman hidupku buat selama-lamanya. Tidak akan ku sia-siakan pemberian itu. Aku berterima kasih pada dirinya kerana itulah hadiah yang paling istimewa pernah aku terima dari seseorang. Hadiah yang paling istimewa pernah aku terima dalam hidupku.

Semoga perpisahan ini akan membawa kebahagiaan buat diriku dan dirinya. Kerana, itulah keputusan yang terbaik bagi kami. Hidup kami kini telah berubah haluan. Dia ke situ, aku ke sini. Tidak akan bertemu lagi. Dan aku berharap agar tidak ada pertemuan di persimpangan hidup kami. Biarlah yang pernah terjadi di antara kami menjadi kenangan manis yang pernah menghiasi hidup ini. 

Biarlah hati ini dipujuk oleh waktu. Biarlah hati ini dihiasi oleh cinta untukMu. Dipenuhi oleh sayang untukMu. Dan disinari cahaya dariMu. Biarlah hati ini menyinta keranaMu. Menyayang demiMu. Dan bersinar bersama rahmatMu. Cinta manusia tidak kekal. Kecuali cinta padaMu. Dan cinta padaMu lah yang membuat aku bahagia. Cinta padaMu lah yang membuat aku kuat, cekal dan tabah. Dan kerana cintaMu lah aku bernafas bebas dari cengkaman kesedihan. Aku cinta padaMu...

Source: google image

No comments:

Post a Comment