Thursday, February 23, 2012

Negaraku Brunei Darussalam

Pada tahun ini, tema Sambutan Hari Kebangsaan ialah Negaraku Brunei Darussalam. Satu tema yang cukup bermakna dan sekali gus membawa impak yang besar sebaik sahaja aku membacanya. Ia menunjukkan semangat patriotik dan kenegaraan yang dibawa oleh orang kitani, orang Brunei. Sebagai salah seorang rakyat Kebawah Duli, aku memang sangat berbangga kerana beridentitikan orang Brunei. Dilahirkan dan bernafas di dalam kehidupan masyarakat yang bercalakkan kebruneian, tiada tempat lain di seluruh dunia yang boleh menandingi keindahan, keunikkan dan keamanan negaraku ini. Semoga Negara Brunei Darussalam sentiasa berada di bawah lindungan Allah jua. Amin...



Sedikit fakta tentang Bruneiku yang tercinta...

Negara Brunei Darussalam. Itulah nama negaraku yang tercinta. Sebuah negara yang berkeluasan 5,765 kilometer persegi dan terletak di bahagian utara pulau Borneo, pulau yang ketiga terbesar di dunia. Ia mempunyai empat buah daerah; Daerah Brunei Muara, Daerah Tutong, Daerah Belait dan Daerah Temburong. Di dalamnya terdapat tujuh puak yang dikategorikan sebagai rakyat Brunei iaitu Melayu Brunei, Dusun, Kedayan, Tutong, Belait, Bisaya dan Murut. Minyak dan gas adalah hasil utama negara ini yang menyumbang kepada kestabilan ekonomi negara.

Negara Brunei Darussalam ditadbir secara turun-temurun oleh kerajaan kesultanan yang bermula dari Sultan Muhammad Shah pada tahun 1363 hinggalah ke hari ini, iaitu Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddien Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Sultan Brunei yang ke 29.

Tepat pada dinihari 1 Januari 1984 satu peristiwa penuh bersejarah telah mengambil tempat apabila kalimah 'Allahu Akbar' dilaungkan sebanyak tiga kali di Taman Sir Muda Omar Ali Saifuddien menandakan Hari Kemerdekaan Brunei dari kerajaan British. Laungan itu dikepalai oleh Almarhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien. Sambutan hari kebangsaan Negara Brunei Darussalam diadakan pada 23 Februari setiap tahun.

Melayu Islam Beraja adalah falsafah negara yang membawa maksud Melayu sebagai bahasa rasmi negara, Islam sebagai ugama rasmi negara dan sistem beraja merupakan kerajaan yang memerintah negara. Setiap rakyat dan penduduk mempunyai tanggungjawab masing-masing untuk menghayati dan mengekalkan falsafah ini demi mempertahankan identiti negara.

‘Negara Brunei Darussalam adalah dengan izin serta limpah Kurnia Allah Subhanahu Wata’ala, akan untuk selama-lamanya kekal menjadi sebuah Negara Melayu Islam Beraja yang Merdeka, Berdaulat dan Demokratik bersendikan kepada ajaran-ajaran Ugama Islam.’ Menurut Ahli Sunnah Waljamaah……”

Petikan Titah sempena Hari Pemasyhuran Negara Brunei Darussalam pada 1 Januari 1984.


I LOVE YOU BRUNEI DARUSSALAM

No comments:

Post a Comment