Monday, April 02, 2012

Kisah Sang Ulat Yang Hodoh

Salam sejahtera. Malam ni, Kakak ada sebuah cerita untuk adik-adik. Cerita ini tentang seekor ulat yang hodoh dan tidak mempunyai ramai kawan. Selamat membaca! :D

**************
Ada seekor ulat yang tinggal di sebuah taman bunga. Badannya berwarna hijau kekuning-kuningan. Ada tompok-tompok hitam di badannya. Kepalanya kecil. Kakinya pendek. Ia tidak mempunyai ramai kawan. Serangga-serangga yang tinggal di situ selalu mengejeknya.

"Hai Sang Ulat, mengapa badan engkau gemuk? Kau tengoklah aku. Badanku ramping," ejek Sang Semut sambil ketawa. Sang Ulat hanya tunduk mendengar suara Sang Semut. Sang Ulat berjalan perlahan-lahan meninggalkan Sang Semut. Lalu ia terjumpa dengan Sang Belalang.
"Hai Sang Ulat, mengapa kaki engkau pendek? Kau tengoklah aku. Kakiku panjang. Aku boleh melompat jauh," ejek Sang Belalang. Dia ketawa melihat kaki Sang Ulat yang kecil itu.

Sang Ulat tidak mempedulikan ejekan serangga-serangga itu. Dia hanya tunduk dan terus berjalan. Hatinya sedih. Perutnya pula terasa lapar. Dia ingin mencari makanan. Sang Ulat lalu terjumpa sekeping daun yang masih segar jatuh di hadapannya. Dia pun menghampiri daun itu.
"Hei Sang Ulat, kau tidak boleh makan di sini. Ini tempat aku," tiba-tiba seekor kumbang berwarna merah menegurnya. Kumbang itu terus menggigit-gigit daun yang jatuh tadi tanpa mempedulikan Sang Ulat yang lapar itu. 

Sang Ulat merasa sedih. Ia berjalan lagi. Cahaya matahari yang panas membuat Sang Ulat merasa sungguh letih. Lalu ia berhenti berehat di sebatang anak pokok bunga yang kecil. Sang Bunga ternampak seekor ulat yang begitu sedih dan letih sedang duduk di kaki pohonnya. Ia pun menegur, "Hai Sang Ulat, mengapa kau bersedih?"

Sang Ulat mendongak ke atas dan melihat Sang Bunga tersenyum melihatnya. Kasihan... Mata Sang Ulat merah sebab menangis.
 "Aku lapar Sang Bunga. Aku belum jumpa makanan lagi. Serangga lain tidak mahu berkawan dengan aku. Mereka cakap, aku hodoh," sahut Sang Ulat. Sang Bunga hanya tersenyum.
"Sang Ulat, marilah naik ke dahanku. Aku banyak daun segar. Makanlah. Jangan engkau peduli apa kata mereka," pujuk Sang Bunga.

Sang Ulat merasa gembira lalu berkata, "Terima kasih Sang Bunga. Engkaulah sahabatku yang paling baik" Lalu Sang Ulat pun memanjat dahan Sang Bunga. Sang Bunga memberi Sang Ulat daun yang paling segar dan muda untuk ia makan. Sang Ulat mengunyah daun yang hijau itu dengan perlahan-lahan. Tidak lama kemudian, Sang Ulat merasa kenyang dan mengantuk.
"Sang Bunga, aku merasa kenyang sekarang. Mataku pula mengantuk. Bolehkah aku tidur di dahanmu sebentar?" tanya Sang Ulat.
"Tidurlah Sang Ulat. Aku akan menjagamu," jawab Sang Bunga dengan senang hati. Lalu Sang Ulat pun tidur di dahan Sang Bunga tadi.

Tanpa disedari, masa telah berlalu. Rupa-rupanya, Sang Ulat tidur begitu lama di dahan Sang Bunga. Selama empat minggu, Sang Ulat tidak bangun-bangun. Kerana kasihan, Sang Bunga hanya membiarkan Sang Ulat tidur di situ. Hari demi hari, Sang Ulat kini bertukar menjadi kepompong.

Pada suatu pagi, Sang Ulat membuka matanya. Ia melihat Sang Bunga tersenyum memandangnya.
"Selamat pagi, Sang Ulat! Kau nampak cantik hari ini," puji Sang Bunga.
"Selamat pagi, Sang Bunga. Kau pun nampak cantik juga," jawab Sang Ulat sambil menggeliat. Tiba-tiba ia terkejut. Mengapa?! Kerana ia mempunyai sepasang sayap yang sungguh cantik! Rupa-rupanya, Sang Ulat sudah bertukar menjadi seekor rama-rama!

"Sang Bunga! Aku boleh terbang!" teriak Sang Ulat. Ia terus terbang keluar dari kepompongnya.
"Terbanglah Sang Rama-rama! Ingat, jangan sombong kerana engkau cantik! Beryukurlah pada Tuhan kerana Dia membuatmu cantik!" sahut Sang Bunga lalu melambai-lambai Sang Ulat yang sudah menjadi Sang Rama-rama. 
"Terima kasih kerana menjaga aku, wahai Sang Bunga. Terima kasih!" jawab Sang Rama-rama dengan gembira.
Sang Rama-rama terbang mengelilingi taman bunga itu. Di bawah, kelihatan Sang Semut dan Sang Belalang melihatnya dengan rasa cemburu. Mereka menyesal kerana telah mengejek Sang Ulat sebelum ini. Mereka hanya mampu melihat Sang Rama-rama terbang dengan sepasang sayap yang sungguh cantik dan berwarna-warni.

Moral : Jangan menghina makhluk yang dicipta Tuhan kerana setiap makhluk itu mempunyai keistimewaan mereka sendiri :)

Hasil nukilan : Adyn Adynda.

4 comments:

  1. Madu! u noe whak?(what) ,hahahaha! aku suka bnr2 ceta ane! mcm pro udah mcm buku2 kanak2 yg penah ku baca caramu bceta :DDDD teimagine ku dah cana lukis2annya XDDD

    ReplyDelete
    Replies
    1. mung pakai bahasa apa? "whak?" hahahaha :p yakan?? hehehe.. malu I :p thanks sugar~cute kan ulat yang ko imagine?jgn nda eh :p hahahaha

      Delete
  2. cakap Ganu jua tu, ndakan?HAHAHAHAA :PPPPP . u deserve the credits~~~ hahahahhaha cute eh CUKUP MAKAN!!! XDDDD

    ReplyDelete
    Replies
    1. oh, mung bawe cakak ganu~ sory lah beb. belum pass lagi. bhahahaha!! ;p hehehe...aww...that is so cute~ ne aku ada idea dah..hehe..will post up as soon as cetanya tesusun~

      Delete