Thursday, August 16, 2012

Trak Sampah

Aku menyanyi seorang sendiri sambil mencuci pinggan di dapur. Lagu Raya. Tenang rasa hatiku. Hari ini aku tidak ada kuliah. Cuaca pagi tadi sungguh redup. Tidak panas. Aku berfikir, 'Mungkinkah semalam malam Lailatul Qadar?' Wallahua'lam. Sedang aku mencuci pinggan, melintas sebuah trak mengangkut sampah di depan rumahku. Jendela dapur yang menghadap ke jalan membolehkan aku melihat siapa sahaja yang melintas rumah kami tanpa mereka menyedarinya. Manakan tidak. Kalau dilihat di jalan, dapur kami terselindung oleh pokok pisang yang sedang membesar. 

Trak sampah itu singgah di rumah jiranku, lalu turun seorang lelaki berbangsa asing (mungkinkah Indonesia atau pun Bangladesh) dari tempat penumpang trak tersebut. Dia mengambil plastik sampah hitam yang diletakkan di tong sampah berdekatan lalu dihumbannya masuk ke belakang trak. Aku hanya melihat kelakuannya itu. Tidak lama selepas itu, dia naik ke tepi trak dan hanya bergayut di situ sambil trak itu berlalu pergi. Entah macamana boleh hatiku tiba-tiba tersentuh. Aku terus berhenti menyanyi. Fikiranku melayang. 

Aku berfikir, 'Apakah perasaan lelaki itu sekarang? apakah yang ada di mindanya? Bagaimana dia meneruskan hidupnya di sini? Bagaiman dia menyambut Raya di sini? Jauh dari keluarga?' Aku hampir saja menitiskan airmata. Aku memikirkan sekiranya lelaki itu mempunyai isteri dan anak kecil di rumahnya sana. Ditinggalkan demi mencari rezeki halal. Merantau jauh ke negeri orang. Apa-apa boleh terjadi tatkala berada jauh dari keluarga tersayang.  Sedih. Sungguh sedih...

Aku berfikir lagi. Ku bandingkan hidupku dengan hidupnya. Hati memanjat syukur kerana aku dikurniakan hidup sebegini. Cukup serba-serbi. Tidak susah. Sungguh aku bersyukur aku tidak berada di tempat orang itu. Namun, hatiku berasa sungguh-sungguh kasihan dengan nasibnya. Sempat aku mendoakan agar dia sentiasa tabah menghadapi hidup yang kadang-kala tidak adil ini. Setelah puas ku berfikir tentang orang itu, aku menyambung kembali lagu Raya ku. Tidak ingin memikirkan lagi. Sedih. Dan aku tidak mampu berbuat apa-apa melainkan mendoakan untuk dirinya dan keluarganya. 'Selamat Hari Raya wahai pekerja membuang sampah. Terima kasih. Ku hargai dirimu kerana tanpamu, tidak akan bersih kawasan jiranku'

Moral : Tidak perlu kita memandang rendah terhadap orang lain berdasarkan pekerjaan yang dilakukannya. Boleh jadi orang itu jauh lebih mulia daripada kita kerana dia melakukan kerja demi mendapat rahmat Allah. Sedangkan kita? Tanya hati, buka minda.

Thursday, August 02, 2012

Mummy~

Tanganku sibuk bergerak. Memegang dan menyembur cecair pelicin pakaian di atas baju kurung Mummy yang ingin ku gosok. Sambil itu, aku mendengar siaran langsung Sembahyang Terawih dari Masjid Sultan Omar 'Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan. Jarang sebenarnya aku mendengar live dari radio... Baru malam ini aku menghayati dan mendengar dengan sepenuh hati.

Malam ini, hatiku benar-benar tersentuh. Sebab melihat Mummy yang kurang sihat kerana terlalu letih mengerjakan pekerjaan di rumah. Semenjak pembantu rumah kami balik, masing-masing punya tugas sendiri. Kami yang biasa hidup dengan pembantu rumah sebelum ini sudah mula belajar untuk berdikari dan mengerjakan kerja-kerja rumah sendiri. Aku sebenarnya berusaha sedaya upayaku untuk membahagi masa di antara pekerjaan umah dan waktu belajar. Sebolehnya aku tidak ingin melihat Mummy letih. Dan aku membuat setiap pekerjaan dengan hati yang ikhlas dan penuh kasih sayang. Demi keluargaku.

Anyhow, back to my story tadi. Aku menggosok setiap baju kurung Mummy dengan penuh kasih sayang. Kebetulan di radio baru sahaja berkumandang azan Isya'. Entah macamana boleh sewaktu aku mendengar laungan azan, hatiku menjadi lembut... Tersentuh... Rindu... Tenang... dan ingin saja ku mengalirkan airmata. Sayu rasanya... Terbayang wajah Mummy dan Babah di mindaku. Begitu sayangnya aku pada kedua orang tuaku. Hatiku berdoa dan terus berdoa untuk mereka berdua... Inginku melihat mereka bahagia selalu, sihat dan sentiasa tersenyum :')

Aku masih teringat bila Mummy teruja yang amat sangat apabila aku memberitahu bahawa aku menyatakan hasrat untuk menyambung belajar. Dia sememangnya ingin melihat kami empat beradik belajar setinggi mana yang kami mampu sebab katanya ilmu bukannya mudah untuk dikumpul seperti duit. Duit boleh dapat di mana saja sedangkan ilmu... Ilmu lagi tinggi nilainya daripada duit. Mummy merupakan semangat dan inspirasi kami untuk belajar bersungguh-sungguh semenjak kecil lagi.

Again, back to my story tadi. Sewaktu aku menggosok pakaian Mummy, entah berapa kali aku menahan airmataku dari jatuh. Aku bayangkan bagaimana hebatnya pengorbanan seorang ibu demi anak-anaknya. Aku bayangkan bagaimana Mummy dulu menggosokkan pakaian kami sewaktu hendak pergi ke sekolah. Bagaimana dia menyediakan sarapan dan bekal buat kami. Banyaklah lagi... Tidak mampu ku urai satu per satu.

Benar, tidak mampu ku ungkapkan perasaanku pada waktu itu. Itu baru menggosokkan pakaian Mummy. Belum lagi yang lain-lain... Aku faham. Di sebalik keceriaan Mummy, ada tersembunyi sesuatu. Pernah dia memberitahuku, "Jangantah ingau. Ada tu nanti jodohmu." Dan aku teringat sewaktu kami ke kedai, kebetulan kami melintas bahagian barangan anak damit. Mummy berkata, "Ani nah...nanti sudah ko ada anak". Aku hanya mengusiknya, "Eleh, angan-angan tia kan becucu". Padahal kami berdua sendiri tidak pasti. Bilakah waktu itu tiba. Entah tiba, entahkan tidak.

Ah well...Enough of it. Kata-kata pun tak dapat menjelaskan perasaanku sekarang... I love you Mummy....