Thursday, August 16, 2012

Trak Sampah

Aku menyanyi seorang sendiri sambil mencuci pinggan di dapur. Lagu Raya. Tenang rasa hatiku. Hari ini aku tidak ada kuliah. Cuaca pagi tadi sungguh redup. Tidak panas. Aku berfikir, 'Mungkinkah semalam malam Lailatul Qadar?' Wallahua'lam. Sedang aku mencuci pinggan, melintas sebuah trak mengangkut sampah di depan rumahku. Jendela dapur yang menghadap ke jalan membolehkan aku melihat siapa sahaja yang melintas rumah kami tanpa mereka menyedarinya. Manakan tidak. Kalau dilihat di jalan, dapur kami terselindung oleh pokok pisang yang sedang membesar. 

Trak sampah itu singgah di rumah jiranku, lalu turun seorang lelaki berbangsa asing (mungkinkah Indonesia atau pun Bangladesh) dari tempat penumpang trak tersebut. Dia mengambil plastik sampah hitam yang diletakkan di tong sampah berdekatan lalu dihumbannya masuk ke belakang trak. Aku hanya melihat kelakuannya itu. Tidak lama selepas itu, dia naik ke tepi trak dan hanya bergayut di situ sambil trak itu berlalu pergi. Entah macamana boleh hatiku tiba-tiba tersentuh. Aku terus berhenti menyanyi. Fikiranku melayang. 

Aku berfikir, 'Apakah perasaan lelaki itu sekarang? apakah yang ada di mindanya? Bagaimana dia meneruskan hidupnya di sini? Bagaiman dia menyambut Raya di sini? Jauh dari keluarga?' Aku hampir saja menitiskan airmata. Aku memikirkan sekiranya lelaki itu mempunyai isteri dan anak kecil di rumahnya sana. Ditinggalkan demi mencari rezeki halal. Merantau jauh ke negeri orang. Apa-apa boleh terjadi tatkala berada jauh dari keluarga tersayang.  Sedih. Sungguh sedih...

Aku berfikir lagi. Ku bandingkan hidupku dengan hidupnya. Hati memanjat syukur kerana aku dikurniakan hidup sebegini. Cukup serba-serbi. Tidak susah. Sungguh aku bersyukur aku tidak berada di tempat orang itu. Namun, hatiku berasa sungguh-sungguh kasihan dengan nasibnya. Sempat aku mendoakan agar dia sentiasa tabah menghadapi hidup yang kadang-kala tidak adil ini. Setelah puas ku berfikir tentang orang itu, aku menyambung kembali lagu Raya ku. Tidak ingin memikirkan lagi. Sedih. Dan aku tidak mampu berbuat apa-apa melainkan mendoakan untuk dirinya dan keluarganya. 'Selamat Hari Raya wahai pekerja membuang sampah. Terima kasih. Ku hargai dirimu kerana tanpamu, tidak akan bersih kawasan jiranku'

Moral : Tidak perlu kita memandang rendah terhadap orang lain berdasarkan pekerjaan yang dilakukannya. Boleh jadi orang itu jauh lebih mulia daripada kita kerana dia melakukan kerja demi mendapat rahmat Allah. Sedangkan kita? Tanya hati, buka minda.

1 comment:

  1. Asalamu alaikum,

    JazakAllah khair for sharing..

    Latest post, Learn what to do on The Night Preceding Eid-ul-Fitr

    Take Care

    ReplyDelete