Wednesday, September 18, 2013

Impian dan ujian.

Kereta dipandu dengan perlahan. Perjalanan pulangnya ditemani oleh kemeriahan suasana bandar. Kelihatan orang ramai sedang berjalan di kaki lima menuju ke gerai-gerai perayaan. Di kiri kanan jalan kelihatan cucul yang berwarna-warni, menghiasi malam yang cerah. Ditambah lagi dengan sinaran cahaya rembulan dan bintang-bintang yang berkelipan di langit. Radio pula sedang memainkan lagu-lagu sentimental dari Barat. Dia tersenyum sendiri. Fikirannya yang tadi kusut mulai tenang. Hatinya yang gundah tadi mulai terasa lega. Ternyata pertemuan singkat bersama teman-teman tersayang telah mengundang rasa bahagia di hati. 

Sejak beberapa hari ini hatinya terasa gundah gulana dan fikirannya bercelaru. Mungkin kerana tugasan kuliah yang menimbun;  Ditambah lagi dengan komitmen-komitmen yang lain membuatkan dia terasa sempit. Namun, setiap kali perasaan itu datang, dia tetap memberitahu dirinya berkali-kali bahawa itu semua adalah dugaan sebagai seorang pelajar sarjana. Dia tahu setiap jerih lelah dan usaha yang dia lakukan bakal membuahkan kemanisan kejayaan. Dia terfikir mungkin kerana kusutnya fikiran dan gundahnya hati itu disebabkan oleh jauhya dirinya daripada Tuhan. Jauhnya dirinya dari berdoa dan berharap padaNya. Kurangnya dia bersyukur pada waktu senang dan susah. Ya, memang itu sebenarnya. Dan dia bersyukur kerana dia dikurniakan teman-teman yang sering mengajak dirinya untuk kembali mendekati Tuhan. Bukan secara terang-terangan tapi secara halus. Dia benar-benar bersyukur kerana mempunyai teman-teman yang sungguh penyayang dan ikhlas :')

Di sepanjang perjalanan pulang, dia memikirkan impiannya. Impian yang ingin dia kecapi selama ini. Impian itu yang menguatkan dirinya agar terus berusaha dan tidak mahu menyerah kalah. Kisah lamanya telah dibuang jauh-jauh dan kini dia sedang menikmati indahnya hidup bersama keluarga dan teman-teman tersayang. Dia tidak lagi dihantui oleh kisah lama yang begitu menyakitkan hati. Kini dia telah menjadi seorang yang kuat dan berjiwa besar. Dia masih ingat lagi kata-kata dari sebuah movie yang ditontonnya baru-baru ini yang lebih kurang menyebut bahawa impian itu menyakitkan, menjijikkan dan membebankan. Maksud tersirat kata-kata tersebut ialah setiap langkah menuju impian itu bukan senang malah penuh dengan dugaan dan cabaran. Kerana itu dia tahu bahawa setiap beban yang dipikulnya sekarang hanyalah sementara. Kejayaan pasti akan di dalam genggamannya jua. 

Saturday, September 14, 2013

Kau yang terindah

Senyummu indah, 
Tawamu indah,
Matamu indah,
Suaramu indah,
Semua tentangmu begitu indah,
Sehingga membuatku terpana.

Kau kuat,
Kau cekal,
Kau tegar,
Hidupmu penuh ujian,
Dan kau terima ujian sebagai bukti
Kasih sayang dariNya untuk dirimu.

Untuk dirimu yang kuat. Apapun tentangmu begitu indah kerana setiap keindahan hatimu itu terpancar di wajahmu.