Tuesday, December 29, 2015

Membawa hati duka

Aku memandang keluar jendela, menikmati keindahan cahaya bulan menyinari langit yang masih gelap. Baru sahaja aku selesai menunaikan solat fardhu Subuh. Hari itu merupakan hari kedua aku dan sahabat kesayanganku, El, berada di Kota Kinabalu, Sabah. Hatiku bertakbir berulang kali melihat pemandangan yang amat luar biasa indahnya. "Allahu akbar, Allahu akbar, Allahu akbar..." Aku merasa bertuah kerana Allah telah memberiku kesempatan untuk menikmati indahnya alam ciptaanNya. Di pagi Subuh itu, aku menyaksikan moonset dengan perasaan yang begitu tenang dan damai dari atas katilku. Kedudukan jendela bilik kami yang menghadap ke laut itu memberiku peluang untuk menghayati suasana yang begitu sunyi di ketika itu. Sekali-sekala aku teringat peristiwa semalam apabila aku dan El sama-sama mengalirkan airmata setelah berkongsi cerita mengenai perkara yang baru saja berlaku ke atas sahabat kesayanganku yang seorang ini. Beberapa hari sebelum itu, dia ada memberitahuku melalui WhatsApp dan mengajak aku untuk bermusafir agar dia dapat mengubat hatinya yang terluka. Kerana itulah, aku tanpa berbelah bahagi lagi terus menawarkan diri untuk menemani dirinya agar dia dapat mengurangkan sedikit sebanyak perasaan sedihnya. Alhamdulillah, Allah telah mengizinkan aku agar aku dapat menemaninya di waktu dukanya. Aku turut merasa terpukul dengan apa yang telah berlaku ke atas dirinya namun itulah kehendak Allah. Dia Maha Mengetahui. Aku hanya mampu mendoakan agar El bertemu dengan jodoh yang baik; seseorang yang mampu membimbing dan mendidik dirinya sebagaimana yang diimpikannya selama ini. In sya Allah, aamiin... Aku terlalu sayangkan El. Persahabatan kami yang terjalin sejak 13 tahun lalu tetap utuh hingga kini. Semoga persahabatan ini akan berkekalan hingga ke Jannah. In sya Allah, aamiin... 

Moonset @ 5:50 am. Pemandangan dari tingkat 10, Klagan Hotel, Warisan Square, KK.


"...Boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu, padahal itu baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal itu tidak baik bagimu. Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui"
Surah Al-Baqarah, ayat 216
AA.

Friday, November 20, 2015

Nasihat


“You are just like me. At first I thought I couldn’t do it. In the end, I managed to finish my Masters. Alhamdulillah, I am grateful I went through it and now here I am,” itu di antara kata-kata yang menyuntik semangatku hingga kini.

“Kamu masih muda. Kalau ada peluang untuk menceburi bidang lain, ambil saja. At the same time, tani mesti bersyukur rezeki tani ada di sini,” ini juga di antara nasihat yang masih terngiang-ngiang di telingaku.

“From my point of view, you will survive. You will be everyone’s favourite. After all, you are my favourite niece of all!” kata-kata itu semakin memberiku semangat untuk terus berjuang menjalani kehidupan ini yang penuh dengan ketidakpastian dan kegusaran.

Sekarang sudah memasuki bulan November, dan cuma tinggal beberapa minggu sahaja lagi kita akan melangkah ke tahun 2016. Tahun yang bagiku agak kritikal dan aku dapat merasakan bahawa pada tahun 2016 nanti aku akan membuat banyak keputusan yang bakal mengubah haluan hidupku. Aku sendiri tidak pasti apakah keputusan itu tapi right now, I can tell that my life is going on a rollercoaster; in an upward direction. And will continue going up, in sya Allah. Mungkin bakal ada hiccups di sana sini tapi aku pasti, aku yakin, dengan pertolongan dariNya jua, aku akan dapat menghadapi segala ujian yang diberiNya. Lagipun, ujian itu tandanya Allah sayang.

Di usia begini, di saat ini, aku berasa sangat-sangat bersyukur kerana sudah terlalu banyak nikmat dan impianku yang Allah tunaikan. Alhamdulillah, ya Allah. I really can’t be more than thankful for having this beautiful life. Ada juga di antara impianku yang tidak tercapai tapi aku bersyukur, sangat bersyukur kerana Allah telah menggantikan impianku dengan sesuatu yang jauh lebih baik. Benar, Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. Kita hanya mampu merancang namun Dia yang menentukan. Jadi sekarang, aku sudah semakin yakin dengan perjalanan hidupku walaupun kadang-kadang aku diselubungi dengan ketidakpastian dan keraguan. Namun, seluruh hati ini tetap berpegang teguh dengan Allah. Hanya kepadaNya aku berserah dan hanya kepadaNya aku berharap. 

"...Cukuplah Allah bagiku; tidak ada tuhan selain Dia. Hanya kepada-Nya aku bertawakkal, dan Dia adalah Tuhan yang memiliki 'Arsy (singgahsana) yang agung" 
- Surah At-Taubah, ayat 129


Okie, that’s all for today :)

AA.

Tuesday, October 20, 2015

Koridor wad 25

بسم الله الر حمن الر حيم

Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh,
***
Kakiku melangkah perlahan keluar dari wad 25. Fikiranku terlalu kusut pada waktu itu. Entah, mungkin terlalu letih kerana sepanjang hari aku sibuk dengan hal-ehwal dunia. Baru sahaja aku selesai melawat nenekku kerana kecederaan kaki yang dialaminya setelah terjatuh di tandas. Alhamdulillah, nenek sudah dapat berjalan menggunakan tongkat tetapi beliau masih mendapatkan rawatan fisioterapi untuk menguatkan kakinya.

Belum jauh aku melangkah keluar dari wad itu, aku terdengar suara seorang wanita seperti sedang bernaindung. Keadaan koridor yang sunyi itu membuatkan suara halusnya bergema. Tidak jauh dari situ, aku terlihat seorang wanita berusia sedang menggendong anak kecil yang sedang tidur. Di sebelahnya pula seorang lelaki muda sedang berdiri dengan tenang sambil memerhatikan wajah anak kecil tadi dengan penuh kasih sayang. 'Mungkin nenek dan ayah kepada anak itu,' bisik hati kecilku. 

Perlahan aku melangkahkan kakiku menuju ke arah mereka kerana lif berada tidak jauh situ. "Laailaa ha'ilallah~" Wanita itu berzikir perlahan dengan alunan yang merdu ke telinga anak tadi. Dia berzikir tanpa henti dengan suara yang tenang dan syahdu. Tiba-tiba saja hatiku terdetak. Entah apa yang membuatkan aku berasa sangat-sangat tersentuh dengan apa yang kusaksikan di depan mataku di saat itu. Tanpa ku sedari, airmataku berlinang bila mendengar suara wanita tadi. "Allahu akbar...astaghfirullahal'adzim" hatiku berbisik. Aku berjalan melintasi anak-beranak itu sambil menundukkan kepalaku, khuatir mereka ternampak mataku yang sembap. "Ya Allah..." bisik hatiku lagi.

Di saat itu juga hatiku mula terasa tenang dan fikiranku mula terasa lapang. Tidak seperti sebelum aku tiba di hospital; kepalaku penuh sesak, membuatkan hatiku berasa tidak tenteram. Fikiranku terlalu kusut sehingga aku sampai ke satu tahap yang membuatku tidak mampu lagi untuk berfikir. Namun, dengan izin Allah, aku diperlihatkan dengan keadaan anak-beranak tadi. Sekelip mata saja, hatiku terubat. Sungguh indah apa yang Allah perlihatkan padaku di ketika itu... Alhamdulillah.... Alhamdulillah... Alhamdulillah... 

"(iaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingat Allah hati menjadi tenteram" 
Surah Ar-Ra'd, ayat 28.

Sunday, September 20, 2015

Travelogue: Cintaku di Kuala Terengganu #UlfahJannah

بسم الله الر حمن الر حيم

Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh,
***
Aku merenung keluar jendela teksi sambil menikmati suasana kampung yang kami lintasi.  Sekali sekala aku menangkap gambar keadaan di sana yang bagiku begitu unik. Jam pada waktu itu baru sahaja menunjukkan pukul 7:30 pagi. Teksi tua yang kami naiki menyusur dengan perlahan menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Mahmud, Kuala Terengganu. Keadaan jalan raya sedikit lengang, tidak banyak kereta. “Jangang maing-maing. Anak pok cik cantik tau! Kulik diyo putih. Dok macang pok cik. Kulik gelak,” ujar pak cik teksi bersungguh-sungguh. Pekat loghat Terengganunya. Pecah tawaku dan sahabat baikku, Ana, setelah mendengar statement mahal daripada pak cik tersebut. “Amboi, diyo ketawe pulok,” sambung pak cik itu lagi, lantas tertawa, mungkin juga geli hati melihat kerenah kami berdua. Pak cik yang berumur di dalam lingkungan pertengahan 50-an itu terus bercerita mengenai anak lelakinya yang berumur 25 tahun yang kini sedang bekerja offshore sebagai seorang supervisor. Aku dan Ana cuma mendengar cerita beliau yang tidak habis-habis memanjatkan syukur kerana mempunyai seorang anak yang rajin berusaha walaupun kelulusannya hanya setakat SPM sahaja. Dia memberitahu bahawa anaknya mempunyai impian yang besar dan ingin menunjukkan pada orang-orang di kampungnya; tidak semestinya belajar tidak tinggi, tidak boleh berjaya. Pak cik teksi seraya memberitahu kami bahawa rezeki itu Allah yang bagi, kita manusia tidak punya hak untuk menentukan rezeki orang. Sekiranya mempunyai keinginan, Allah akan tolong. Aku cuma terdiam sambil tersenyum mendengar hujah pak cik yang penuh bermakna itu. Ku sematkan nasihatnya itu kemas-kemas di dalam hati.
Melintas Masjid Kristal. Kelihatan cahaya dari matahari pagi yang sedang naik.
Kata-kata pak cik itu membuatku mengimbas kembali tujuanku dan Ana untuk bermusafir ke negeri Terengganu Darul Iman, salah sebuah negeri di Malaysia yang terkenal dengan pulau-pulau yang cantik serta pantainya yang indah nan bersih. Ini merupakan kali kedua aku menjejakkan kaki ke negeri pantai timur itu. Begitu juga Ana. Sebelum ini, kami menjejakkan kaki ke sana dengan tujuan lain, sekarang kami punya tujuan yang sama. Sebelum ini, tujuan kami cuma bercuti, makan angin. Masing-masing bersama kumpulan rakan-rakan yang lain pada waktu itu. Pada tahun ini pula, hanya kami berdua. Bercuti sambil “bekerja”. 

***

Pada 7 September, 2015; hari Isnin, aku dan Ana berlepas menuju ke Kuala Lumpur, Malaysia dengan membawa satu tugasan, mewakili team Ulfah Jannah. Bukit Bintang merupakan destinasi pertama kami di Kuala Lumpur, hanya sebagai persinggahan semalaman pelepas lelah untuk kami sebelum bertolak ke Kuala Terengganu pada keesokkan harinya. 

Pada 8 September 2015, hari Selasa, pukul 9:20 pagi, aku dan Ana berlepas menuju ke destinasi sebenar kami iaitu Kuala Terengganu, Terengganu. Kami menaiki Air Asia yang cuma mengambil masa lebih kurang 50 minit. Alhamdulillah, setibanya di sana, kami di sambut baik oleh Nadiah, seorang sahabat yang dihantar oleh Bonda Nor untuk membawa kami terus ke Perpustakaan Awam Kuala Terengganu. “Tak bagi chance rehat langsung mak cik ni!” gurau Nadiah dan Ana. Aku turut tertawa mendengar gurauan mereka tentang Bonda Nor. Aku cuma mengenali Bonda Nor melalui hasil penulisan beliau yang pernah aku baca sebelum ini; Sahaja Aku Jatuh Cinta, dan juga melalui media sosial. Beliau merupakan seorang penulis novel tarbiyah dan sudah pernah menghasilkan beberapa buah buku yang mendapat sambutan begitu menggalakkan. Ini adalah kali pertama aku akan bertemu beliau dan I didn’t know what to expect! Nervous, excited and happy at the same time. Setibanya kami di perpustakaan, aku sudah terlihat kelibat Bonda Nor dari jauh. Tinggi lampai orangnya. Manis juga. Beliau menyambut kami dengan senyuman dan dakapan mesra. “Yani! Eee! Sukanya!” itulah di antara kata-kata awal yang terucap dari bibir wanita itu sebaik sahaja dia mendakapku erat. Aku dapat merasakan aura yang begitu positif dan mesra darinya sekali gus membuatku rasa kehadiranku di sana sangat-sangat diterima dan dihargai. Alhamdulillah~

Pada petang itu, aku dan Ana menghabiskan masa kami di perpustakaan dengan video editing short film ‘Jodoh Dalam Botol’ yang bakal ditayangkan pada hari pelancaran buku hasil tulisan Bonda Nor sendiri, iaitu Ahmad Ammar, Kau MilikNya. Dan bila tiga kepala bertemu jadi satu, maka tercetuslah konflik idea yang menimbulkan lagi idea-idea baru dan menambahkan lagi keterujaan kami untuk terus menghabiskan video editing pada petang itu juga. Sekali-sekala pecah berderai tawa kami sehinggakan ditegur oleh pengawal perpustakaan kerana mengganggu ketenteraman perpustakaan. Mohon maaf pak cik pengawal. Kami lupa bahawa kami sedang bekerja di dalam perpustakaan awam. Dan pada petang itu juga short film tersebut terus ditayangkan sebagai rehearsal untuk majlis yang sebenarnya. Alhamdulillah, rehearsal berjalan dengan lancar dan masing-masing terasa begitu teruja menantikan hari esok.


Editing sedang dijalankan.

Perbincangan sedang rancak dijalankan
Pada malam pertama kami di Terengganu, aku dan Ana cuma menghabiskan masa berehat di hotel dan menikmati makan malam di salah sebuah restoran yang berdekatan. Salah satu sebab aku begitu mencintai negeri Terengganu selain daripada penduduknya yang peramah serta suasananya yang sederhana ialah makanannya yang begitu menepati citarasaku. Bagiku, asinnya, pedasnya, masamnya, manisnya… Semuanya just nice… 

Pada 9 September, 2015, hari yang dinantikan telah tiba. Back in Brunei, Universiti Brunei Darussalam sedang mengadakan Majlis Konvokesyen kali ke 27 sementara kami di Terengganu pula menghadiri acara forum Bicara Tokoh Ada Apa dengan Ammar yang diselajurkan dengan Majlis Pelancaran buku hasil karya Bonda Nor. Yang paling istimewanya pada forum ini ialah kehadiran ayahanda dan bonda Allahyarham Ahmad Ammar sebagai penalis forum. Banyak ilmu yang dapat ku kutip di sepanjang sesi perkongsian tersebut. Bonda Nor selaku moderator yang bersahaja dan santai telah berjaya mencuit hati para penonton yang rata-rata adalah para penuntut pra-universiti. Alhamdulillah, aku bersyukur sangat-sangat kerana Allah telah memilih aku untuk berada di sana. Ini bukan kebetulan, semuanya memang dirancang oleh Allah jua. Kehadiranku ke forum ini memang tepat pada masanya Di saat aku masih lagi belajar mendalami dan menyelami agama Islam. Sungguh, terasa diri ini kerdil sekali. Terasa kosong dan gersang jika dibandingkan dengan mereka. Masih banyak lagi ilmu yang perlu aku dalami untuk benar-benar menjadi seorang Muslimah yang sejati... 


Di antara beberapa orang penuntut yang mengambil kesempatan untuk bergambar
dengan ayahanda dan bonda Allahyarham Ahmad Ammar

Bersama Bonda Nor, cikgu Atie, Cikgu Nadiah,
bonda dan ayahanda Allahyarham Ahmad Ammar
Seusainya majlis pada pagi itu, aku dan Ana pulang ke hotel. Petang itu kami berjanji bersama Nadiah dan seorang lagi sahabat, Atie, untuk berjalan-jalan santai di Kuala Terengganu. Alhamdulillah, cuaca begitu mengizinkan. Aku dan Ana dapat menikmati suasana yang begitu tenang di sana. Kami sempat singgah di Masjid Kristal sebentar dengan niat ingin mencari kepok lekor yang ada berjual di kawasan sana. Namun, nasib tidak menyebelahi kami bila warung yang dituju telah pun tutup. Di akhir petang itu pula, Bonda Nor membawa kami menikmati nasi kerabu di sebuah warung. “Ni mesti Yani yang mengidam nasik kerabu. Budak-budak ni pelek lah!” usik Bonda Nor apabila Atie memberitahunya kami teringin makan nasi kerabu. Aku cuma tertawa. Betul, memang aku mesti makan nasi kerabu kalau pergi ke Terengganu. Apa lagi kepok lekor. Kedua-dua makanan ni memang wajib dimakan kalau ke sana. Sampai sekarang aku masih dapat rasa keenakkan kedua makanan kegemaranku ini. Dan, pada malam itu, di warung nasi kerabu, aku telah belajar cara makan menggunakan tangan. Bukannya aku tidak pernah makan menggunakan tangan sebelum ini tapi aku selalu berasa kekok. Bonda Nor menerangkan padaku bahawa makan menggunakan tangan itu sunnah Nabi. Dia juga ada menerangkan mengenai kajian saintifik makan menggunakan tangan. Aku diusik lagi kerana makan terlalu sopan. Sungguh, aku merasa terhibur berada di kalangan mereka.

Malam itu, aku dan Ana tidur lebih awal sedikit berbanding sebelumnya kerana keesokkan harinya, kami mesti bertolak dari hotel seawal jam 7 pagi memandangkan penerbangan kami ke Kuala Lumpur pada jam 7:40 pagi. Sambil mengemaskan barang untuk pulang, kami berbincang dan berkongsi mengenai pengalaman kami sepanjang berada di sana, terutama ilmu yang kami perolehi dari forum yang kami hadiri. Alhamdulillah, perjalanan kami pada kali ini betul-betul bermakna dan penuh dengan kenangan manis yang tak mungkin akan dilupakan...  


Selamat tinggal Kuala Terengganu! Hello Kuala Lumpur!
***
Lamunanku terhenti apabila teksi yang membawa kami berhenti di hadapan pintu masuk lapangan terbang. Sudah sampai rupanya. Perjalanan yang mengambil masa lebih kurang setengah jam itu memberi peluang untukku berfikir mengenai pengalaman musafirku pada kali ini. Alhamdulillah, dengan izin Allah jua, aku telah mendapat sebuah pengalaman yang begitu indah untuk ku abadikan di dalam hidupku; lebih-lebih lagi aku telah berkongsi pengalaman ini bersama sahabat baikku, Ana.

Setibanya kami di Kuala Lumpur, aku dan Ana terus menaiki KL Express menuju ke KL Central dan kemudiannya menaiki RapidKL menuju ke KLCC, tempat persinggahan terakhir kami sebelum pulang ke Negara Brunei Darussalam pada malamnya. Selepas sahaja menikmati makanan tengahari dan menunaikan solat jama’, aku dan Ana menghabiskan masa kami di Aquaria KLCC. Di sana, aku dan Ana menikmati keindahan kehidupan di bawah laut. Allahu Akbar, sungguh indahnya makhluk ciptaan Allah… 
Dua orang lelaki Jepun sedang asyik memerhatikan seekor pari

Malam itu, aku dan Ana menaiki Royal Brunei dengan perasaan yang bercampur-baur. Gembira, teruja, puas hati, bahagia, sedih, sebak dan pelbagai lagi apabila mengenangkan percutian kami yang singkat tapi penuh makna. Alhamdulillah… In sya Allah, semoga akan dipertemukan lagi dengan percutian yang seterusnya.


In sya Allah, ada rezeki, Ulfah Jannah akan kembali.

Jemput tonton shortfilm "Jodoh Dalam Botol" hasil usaha 3 pengarah dari 3 negara: Brunei, Malaysia dan Singapore.




#UlfahJannah : Perjuangan Dakwah Tak Pernah Lelah

Wednesday, August 19, 2015

Terlafaznya dua kalimah syahadah...

بسم الله الر حمن الر حيم

Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

***

Suasana terasa sunyi sepi. Terasa gemuruh sedikit di hati. Keadaan cuaca di luar kelihatan mendung dan gelap, tanda-tanda hujan bakal turun tidak lama lagi. Keadaan di ruang tamu pula sedikit sesak dan para tetamu sedang duduk berasak-asak sesama sendiri. Terasa beberapa pasang mata sedang merenung ke arah kami. Aku yang pada awalnya sedang tunduk bermain-main dengan ibu jariku mengangkat kepalaku perlahan-lahan dan melihat para tetamu yang ada di hadapan kami. Rata-rata mereka sedang duduk mendiamkan diri. Menanti untuk acara majlis dimulakan. Di saat aku mulai mencari kelibat seseorang, mataku bertentangan dengan mata ayah saudaraku yang duduk tidak jauh dari situ. Dia merupakan adik kepada ayahku yang paling bongsu. Mungkin dia memahami keadaan isi hatiku yang agak gemuruh ketika itu. Dia tersenyum lantas menarik nafasnya perlahan-lahan, seolah-olah memberi signal untukku melakukan perkara yang sama. Aku membalas senyumannya dan turut menarik nafas panjang. Aku berasa tenang sedikit.

Tidak lama kemudian, kedengaran suara pegawai Pusat Dakwah Islamiah memulakan mukaddimah. Hujan sudah mulai turun. Renyai-renyai. Walaupun aircond di ruang tamu sudah terpasang beberapa jam sebelum majlis, tambahan pula hujan di luar, langsung tidak terasa hawa sejuknya. Mungkin kerana masing-masing  yang hadir turut merasa gemuruh. Aku yang duduk di sebelah ibu saudaraku dan juga adik perempuanku cuma tunduk diam mendengar setiap baris ayat yang keluar dari mulut pegawai tersebut. Ada kalanya dia tersekat apabila berbicara, mungkin dek kerana terasa gemuruh juga. Turut hadir di majlis itu merupakan Yang Berhormat di daerah tempat kelahiranku. Dan apabila tiba saat untuk orang pertama yang bakal melafazkan dua kalimah syahadah, iaitu adik lelakiku yang pertama, tiba-tiba terasa suasana di dalam ruang tamu itu begitu lain. Keadaan terasa sunyi yang amat sangat, sehinggakan tidak kedengaran titisan hujan yang turun dengan lebatnya. Terasa masing-masing yang hadir pada waktu itu sedang tekun mendengar setiap bait kata yang terlahir dari mulut adikku. Lancar saja dia melafazkan dua kalimah syahadah dan setiap baris ayat yang ada terkandung di dalam kertas putih di hadapannya. 

Setibanya giliran adik lelakiku yang bongsu pula. Mungkin kerana tidak tahan dengan rasa syahdu di hati, kedengaran suara esak tangisnya ketika dia perlahan-lahan melafazkan dua kalimah syahadah. Di saat itu juga, suasana agak syahdu sedikit dan mulalah airmata mengalir daripada orang sekeliling, termasuk aku. Aku cuma tersenyum mendengar suara adikku walaupun airmataku mengalir perlahan. Ya Allah… Bermacam-macam perasaan yang hadir pada ketika itu.

Dan di saat giliranku untuk melafazkan dua kalimah syahadah, hati ini terasa tenang. Lafazku lancar dan tidak tersekat. Terasa di dalam diri ini bagaikan mengalir sesuatu. Sesuatu yang membuatku terasa bagaikan hidup kembali setelah sekian lama terlena. Setelah sekian lama tercari-cari jalan untuk bangkit dari lena yang tidak memberi apa-apa kecuali gelap-gelita. Ternyata suasana di sekelilingku ketika itu terasa begitu asing. Terasa yang ada cuma diri ini dan Allah SWT. Dan terasa di ketika itu juga waktu bagaikan berhenti berputar. Dan seolah-olah aku terasa bagaikan ada cahaya yang terang dan menyejukkan sedang disinarkan ke tubuh ini. Terasa begitu damai sekali... Entah aku tidak tau lagi bagaimana untuk menerangkannya dengan kata-kata. Air mata terus mengalir perlahan di wajahku sehingga aku habis melafazkan dua kalimah syahadah.

Setelah ahli keluargaku yang ke enam siap sempurna melafazkan dua kalimah syahadah, kedengaran pula suara esak tangis daripada para tetamu. Esak tangis menandakan syukur ke hadrat Ilahi di atas kehadiran enam orang saudara baru di petang hari Jumaat yang berkat itu. “Alhamdulillah~” Kedengaran kalimat itu terlafaz dari bibir-bibir para tetamu yang hadir. Aku melihat kedua orang tuaku yang juga duduk tidak jauh dari situ tersenyum terharu. Jelas kelihatan airmata mengalir dari mata mereka… Airmata gembira dan bahagia kerana anak-anak mereka semuanya sudah bergelar Muslim dan Muslimah… Alhamdulillah Ya Allah…

Kini sudah hampir lima bulan berlalu namun setiap detik di Majlis Pengislaman kami masih dapat ku rasakan hingga kini. Malah aku tidak akan pernah melupakan saat-saat indah itu :’) Alhamdulillah~ Kini aku sudah semakin yakin dengan diriku sendiri dan aku benar-benar mencintai kehidupanku sebagai seorang Muslimah… Tidak ada kehidupan yang sempurna selain daripada kehidupan yang disinari dengan cahaya Islam. In sya Allah, perjuangan akan tetap aku teruskan demi menegakkan agama Allah... 

Thursday, August 06, 2015

Aku ingin jadi yang terbaik

بسم الله الر حمن الر حيم

Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Petang kelmarin, aku menerima pesanan melalui Whatsapp dari bapa saudaraku, meminta bantuan daripada keluarga untuk menemani 'packing' barang-barang di rumahnya kerana mereka sekeluarga diarahkan untuk berpindah dengan segera di atas sebab-sebab keselamatan. Ini kerana flat yang mereka diami mengalami kebakaran di tingkat bawah baru-baru ini. Alhamdulillah tidak ada korban jiwa dilaporkan tetapi tuan rumah (iaitu jiran kepada bapa saudaraku) dan sekeluarga mengalami kecederaan. Sebaik sahaja menerima pesanan itu, aku dan ibu saudaraku selajur melawat dengan niat untuk membantu keluarga bapa saudaraku.

Sebaik sahaja tiba di sana, aku cuma terdiam memerhatikan keadaan sekeliling yang agak suram. Alangkah rawannya hatiku melihat sisa-sisa kebakaran di tempat kediaman jiran mereka itu. Di mindaku mula terbayang saat-saat kebakaran. Ngeri. Seram. Lemas. Sakit. Bau asap di sana-sini. Api yang menjulang tinggi tanpa belas kasihan membakar apa saja yang mampu dicapainya. Sudah pasti yang difikirkan pada waktu itu hanyalah nyawa. Nyawa. Nyawa... Ya Allah... Kau berikanlah kekuatan dan ketabahan buat keluarga ini. Aamiin~ 

Pada malam itu, sambil menolong 'packing' apa-apa yang patut, sambil beraya, sambil itu juga kami berbual mengenai kehidupan. Pelbagai keluh-kesah dan kisah yang ku dengar daripada ibu saudaraku, yang merupakan kakak kepada bapa saudaraku. Sekali-sekala aku turut menyampuk perbualan mereka yang rata-rata membincangkan tentang masalah yang mereka hadapi. Kalau dulu aku tidak pernah memahami topik perbualan orang dewasa namun sekarang aku sudah dapat merasakan apa yang mereka rasa. Aku dapat menyelami perasaan dan keingauan mereka. Mungkin tidak terpancar di wajah namun di hati mereka hanya Allah yang tau. Ya Allah... Kau permudahkanlah urusan mereka, jangan Kau berikan mereka beban yang tak sanggup mereka pikul dan murahkanlah rezeki mereka selalu... Malam itu, aku dan ibu saudaraku menolong apa-apa yang patut. Alhamdulillah, so far, almost everything was settled. Hopefully my uncle and his family will get a permanent place as soon as possible.

*****

Akhir-akhir ini, aku banyak berfikir mengenai masa depanku dan keluargaku. Alhamdulillah, aku sudah mencapai umur dua puluh sembilan tahun dan so far, hidupku dilimpahi nikmat yang tidak terhingga. Sudah banyak impianku yang menjadi kenyataan dengan izin Allah jua. Mungkin impianku tidak sebesar impian orang lain namun aku sungguh berpuas hati dengan kurnia yang Allah beri kerana aku tahu Dia memberiku apa yang aku perlukan. Kadang-kadang rezeki itu datang tanpa di sangka-sangka. Kalau dulu, aku tidak begitu endah dengan apa yang sedang berlaku di sekelilingku. Yang ku fikirkan cuma aku, aku dan aku. Sekarang, aku sudah dapat memahami situasi sekeliling, lebih-lebih lagi keadaan ahli keluargaku sendiri. 

Melihat akan keadaan sekelilingku membuatku tekad dan semakin kuat semangat untuk menjadi yang terbaik dan menyumbang sebanyak yang ku mampu untuk keluargaku, terutama kepada kedua orang tuaku. Aku berazam untuk hidup demi membahagiakan mereka dan aku tidak mahu kehidupanku yang dulu mempengaruhi masa depanku. Aku dapat merasakan masa depanku sudah ada di dalam genggamanku dan aku berserah sepenuhnya kepada Allah SWT dengan setiap keputusan yang aku ambil. He knows what's best. Dan aku percaya, kurnia yang Allah berikan padaku tujuannya adalah untukku membantu mereka yang memerlukan bantuanku. I am happy to know and finally understand that :) Alhamdulillah~ In sya Allah, dengan pertolongan Allah jua, aku akan selalu mencuba yang terbaik. Semoga perjalananku akan sentiasa dipermudahkan jua. Aamiin~

*****

Dari Abu Hurairah yang diriwayatkan oleh Muslim (bermaksud): 

" Barangiapa yang meringankan salah satu dari kesusahan seorang mukmin di dunia, maka Allah akan meringankan salah satu kesusahannya di hari kiamat. Barangsiapa yang yang memudahkan (membantu dalam masalah hutang) orang yang mendapat kesusahan (berhutang), maka Allah akan memudahkan baginya di dunia dan akhirat. Barangsiapa yang menyembunyikan keaiban seorang Muslim lain, maka Allah akan menyembunyikan keaibannya di dunia dan akhirat. Allah menolong seorang hamba selagi hamba itu menolong saudaranya”.


Sunday, July 26, 2015

Hati sangat riang

بسم الله الر حمن الر حيم

10 Syawal 1436H.

Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Alhamdulillah, malam ini sudah memasuki malam ke 10 Syawal. Ini bermakna sudah lebih seminggu umat Islam di Brunei Darussalam menyambut ketibaan Aidilfitri, bulan kemenangan bagi seluruh umat Islam. Syawal tahun ini merupakan tahun pertama bagiku dan adik-beradik menyambut Aidilfitri sebagai umat Islam. Alhamdulillah, kami berempat telah sempurna menjalankan ibadah puasa bulan Ramadhan penuh 30 hari tanpa sebarang masalah :) Setelah melalui sendiri pengalaman beribadah di bulan Ramadhan, aku baru tahu betapa nikmatnya beribadah di bulan suci ini. Tidak mampu ku ungkapkan dengan kata-kata. Aku berasa begitu dekat sekali dengan Allah. Hati ini terasa sungguh tenang dan aman, dengan izin Allah jua. Alhamdulillah~ :) Rindunya Ramadhan... In sya Allah, semoga akan dipertemukan dengan Ramadhan di tahun hadapan... Aamin~

Di bulan Ramadhan tahun ini juga, aku telah mengambil keputusan untuk terus melangkah jauh di dalam hidupku. Keputusan yang aku letakkan sepenuh harapanku pada Allah...In sya Allah, dengan doa dan usaha yang diteruskan, semoga segala impianku akan menjadi kenyataan jua. Aamin~ :) *hati berbunga-bunga*

Ya Allah, Alhamdulillah~ Aku betul-betul bersyukur padaMu di atas limpahan rahmat dan kasih sayangMu ya Allah. Aku dapat rasakan rezekiku yang kian bertambah dan hala tuju hidupku semakin berarah dan cerah. Engkau Maha Mengetahui apa yang terbaik buatku dan keluargaku serta orang-orang yang ku sayangi. Alhamdulillah~ Alhamdulillah~ Alhamdulillah~ Ya Allah, Kau permudahkanlah semuanya. Kau kuatkanlah hati kami demi menghadapi ujian yang Kau berikan. Sesungguhnya setiap ujianMu itu adalah curahan kasih sayang dariMu jua. Alhamdulillah~ :)

Selamat Hari Raya Aidilfitri :) Mohon maaf zahir dan batin.

Friday, May 15, 2015

Hidupku indah


بسم الله الر حمن الر حيم

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

Alhamdulillah, hari ini aku diberi kesempatan untuk hidup lagi sehari dan menikmati segala kurnia yang dberi oleh Allah SWT. Kurnia dari segi rezeki masa dan kesihatan, dan juga peluang untuk meluangkan masa bersama keluarga dan sahabat-sahabat yang dikasihi. Alhamdulillah di atas rezekiMu ini ya Allah...

Sejak aku bergelar seorang Muslimah, aku dapat merasakan hidupku sungguh-sungguh bermakna. Terasa hidup ini mempunyai arah dan tujuan. Alhamdulillah, Allah permudahkan setiap urusan. Selain daripada kursus di Pusat Dakwah Islamiah, aku juga mempunyai sahabat-sahabat dan ahli keluarga yang sentiasa membantuku. Sungguh, inilah kehidupan yang aku impikan selama ini. Begitu sempurna. Begitu indah. Alhamdulillah ya Allah... Terima kasih ya Allah kerana telah memilih aku menjadi di antara hamba-hambaMu ya Allah... Setiap nafasku, setiap langkahku, setiap urusanku, aku lakukan demiMu Allah... This is such a beautiful life... 

Anyhow, 13.5.2015 marked our first year anniversary for Ulfah Jannah. Alhamdulillah, jalinan persahabatan kami berkekalan hingga sekarang. Malah semakin erat :) Sehingga sekarang, sudah 3 siri drama tarbiyyah kami hasilkan. Dengan izin Allah jua, setiap urusan kami dipermudahkan. In sya Allah, akan ada lagi siri drama yang seterusnya. Selagi mampu, dakwah akan tetap diteruskan. 

And... I am so happy now. Benar... Tiada istilah kebetulan. Semua yang terjadi memang ada sebabnya tersendiri dan Allah Maha Mengetahui. Setiap perancangan Allah itu sungguh sempurna sehinggakan aku sendiri tak mampu untuk merungkainya dengan kata-kata. I believe, truly, I have found my other half. He really is a great person, inside out. How did we met? Biarlah rahsia. Tapi, he has been there all this while. Cuma, hati kami waktu itu tidak tertumpu pada arah yang sama. Sekarang, Alhamdulillah... Rancangan Allah itu sungguh-sungguh indah dan membahagiakan. In sya Allah...in sya Allah...in sya Allah... Semoga dipermudahkan dan semoga dimakbulkan semua doa yang baik-baik. Aamiin~ 

Dan akhir sekali, ZTF. Alhamdulillah, ZTF kini sudah mampu berdiri sendiri. Syabas dan tahniah buat mereka yang telah berusaha untuk membawa ZTF hingga ke tahap ini. Aku cuma mampu tersenyum melihat hasilnya. Tahniah ZTF, tahniah Zizan. You have now got yourself a big family and I am proud of you Zan :) I will always cherish this friendship we have until forever. 

Okie, that's all for this time :) In sya Allah, 'till next time :)

Tuesday, March 31, 2015

I am now a Muslimah

"Mana anakku...? Mana Noni...? Alhamdulillah sayang~" Di antara kata-kata ayah angkatku yang masih terngiang-ngiang di mindaku sewaktu aku melihat gambar-gambar yang ada di dalam handphone ku. Mata berkaca, hati terasa syahdu dan sayu, tidak ada kata-kata yang mampu kuungkapkan di saat aku mengimbas kembali peristiwa pada Jummat lepas. Sungguh tidak ku sangka aku diberikan kesempatan untuk berjumpa dengan ayah dan ibu angkat ku lagi. Selepas enam belas tahun tidak berjumpa, akhirya kami berkumpul semula sebagai sebuah keluarga.

Di saat terlafaz dua kalimah syahadah dari bibir ini, terasa sungguh tenang seluruh jiwaku. Aku seakan-akan lupa apa yang sedang berlaku dan siapa yang berada di sekelilingku. Yang ada cuma diri ini dan Allah. Entah, aku sendiri tidak mampu menyusun bait kata yang dapat menerangkan perasaanku pada waktu itu. Sungguh indah, sungguh tenang...damai...syahdu... Di saat itu juga, terdengar suara esakan terharu yang perlahan dari para hadirin yang ada di depan kami. Mungkin masing-masing turut berasa terharu dan bersyukur dengan kehadiran enam orang saudara baru pada hari itu. Aku sempat melihat sahabat-sahabat AnNisaa ku yang duduk di hadapan, tidak jauh dariku. Aku berasa sungguh bahagia kerana dapat berkongsi hari yang bersejarah ini bersama mereka. Hanya airmata syukur yang mampu ku perlihatkan pada waktu itu.

Sewaktu kumpulan dikir mengalunkan irama dikir diikuti dengan taburan bunga rampai dari para hadirin, aku merasa sungguh bahagia sekali. Di antara orang pertama yang menabur bunga rampai ialah ayah dan ibu ku. Ku peluk cium mereka dengan erat sambil airmata mengalir dengan perasaan yang bercampur baur... Insya Allah, giliran mereka tidak lama lagi.. Ucapan tahniah juga tidak putus-putus ku terima dari para hadirin yang ada. Entah beberapa kali aku menangis kerana gembira dan bersyukur dengan kurnia Allah SWT pada hari itu. Apabila tiba giliran sahabat AnNisaa ku, Ana July, untuk menabur bunga rampai, kami berpeluk erat dan menangis teresak-esak. Inilah saat-saat yang kami nantikan bersama. *ambil tisu, lap mata* Alhamdulillah. Takkan ku lupakan saat indah itu. I love you Sut!!! Ya Allah.... bahagianya.... Selain daripada sahabat AnNisaa ku, aku turut berkongsi hari bersejarah ini bersama sahabat-sahabat Ulfah Jannah ku yang tercinta berserta sahabat-sahabatku semenjak di maktab dulu. Aku dapat merasakan betapa indahnya rasa di hati di saat aku melihat wajah sahabat-sahabatku yang hadir. Di wajah mereka tertera rasa gembira dan nyata menunjukkan rasa bersyukur dengan majlis ini...

Alhamdulillah...pada 6 Jamadilakhir 1436 Hijrah bersamaan dengan 27 Mac 2015 Masehi, selesai sudah Majlis Pengislaman buatku dan semua adik-beradikku serta ibu saudaraku dan anak perempuannya. Majlis berjalan dengan lancar dan semuanya dipermudahkan dengan izin Allah SWT jua. Rata-rata ahli keluarga dan hadirin yang hadir pada petang itu menyatakan bahawa hari itu hari berkat kerana hujan turun dengan lebatnya sewaktu kami melafazkan dua kalimah syahadah sedangkan waktu ini merupakan musim kemarau. Alhamdulillah~ :_) 

Dan sekarang, bermulalah kehidupanku sebagai seorang Muslimah :)

Monday, March 09, 2015

My first post in 2015

Hi :) 

This is my first post in 2015. Been busy with lots of stuffs going on. Good stuffs. Beautiful stuffs :) My An Nisaa sister, Nad, just got married recently :) Congratulations Nadhi! Love you loads. Semoga berbahagia hingga ke Jannah :') Amin amin amin~~

Time passed by so quickly that I just realised it's going to be my final year of 20's. If only that junior boy didn't ask me how old I was when we met over a high tea event two weeks ago, I wouldn't have realised my age. Ha-ha-ha~ *monotone laugh* Anyhow, I love my life :) I love me. I really don't want to waste each and every second of my life. I want to appreciate each and every breath that I have, I want to give and just give out more and more love to those people around me. And I am feeling so very thankful for having a beautiful family, an understanding and loving partner, a group of understanding and non-judgmental buddies and, health and all the rezki I have now. Alhamdulillah~ 

So, what's next...? :) I believe this year will bring about so many beautiful changes in my life. I really do believe in it :) Some people come and go, some people don't appreciate, and some people just never bother. I don't mind. So long as I have done whatever is needed, and I know I have respected myself so well that I'm not letting others to distract my life principles, then I am happy :) A close friend once said to me, "My 2015 started well. It started with so many good and happy stuffs. Alhamdulillah :)" And it is indeed for me too :) Insya Allah, semoga semua urusan akan dipermudahkan...

Okay, that's all for now. 

Live. Laugh. Love. Share.