Tuesday, March 31, 2015

I am now a Muslimah

"Mana anakku...? Mana Noni...? Alhamdulillah sayang~" Di antara kata-kata ayah angkatku yang masih terngiang-ngiang di mindaku sewaktu aku melihat gambar-gambar yang ada di dalam handphone ku. Mata berkaca, hati terasa syahdu dan sayu, tidak ada kata-kata yang mampu kuungkapkan di saat aku mengimbas kembali peristiwa pada Jummat lepas. Sungguh tidak ku sangka aku diberikan kesempatan untuk berjumpa dengan ayah dan ibu angkat ku lagi. Selepas enam belas tahun tidak berjumpa, akhirya kami berkumpul semula sebagai sebuah keluarga.

Di saat terlafaz dua kalimah syahadah dari bibir ini, terasa sungguh tenang seluruh jiwaku. Aku seakan-akan lupa apa yang sedang berlaku dan siapa yang berada di sekelilingku. Yang ada cuma diri ini dan Allah. Entah, aku sendiri tidak mampu menyusun bait kata yang dapat menerangkan perasaanku pada waktu itu. Sungguh indah, sungguh tenang...damai...syahdu... Di saat itu juga, terdengar suara esakan terharu yang perlahan dari para hadirin yang ada di depan kami. Mungkin masing-masing turut berasa terharu dan bersyukur dengan kehadiran enam orang saudara baru pada hari itu. Aku sempat melihat sahabat-sahabat AnNisaa ku yang duduk di hadapan, tidak jauh dariku. Aku berasa sungguh bahagia kerana dapat berkongsi hari yang bersejarah ini bersama mereka. Hanya airmata syukur yang mampu ku perlihatkan pada waktu itu.

Sewaktu kumpulan dikir mengalunkan irama dikir diikuti dengan taburan bunga rampai dari para hadirin, aku merasa sungguh bahagia sekali. Di antara orang pertama yang menabur bunga rampai ialah ayah dan ibu ku. Ku peluk cium mereka dengan erat sambil airmata mengalir dengan perasaan yang bercampur baur... Insya Allah, giliran mereka tidak lama lagi.. Ucapan tahniah juga tidak putus-putus ku terima dari para hadirin yang ada. Entah beberapa kali aku menangis kerana gembira dan bersyukur dengan kurnia Allah SWT pada hari itu. Apabila tiba giliran sahabat AnNisaa ku, Ana July, untuk menabur bunga rampai, kami berpeluk erat dan menangis teresak-esak. Inilah saat-saat yang kami nantikan bersama. *ambil tisu, lap mata* Alhamdulillah. Takkan ku lupakan saat indah itu. I love you Sut!!! Ya Allah.... bahagianya.... Selain daripada sahabat AnNisaa ku, aku turut berkongsi hari bersejarah ini bersama sahabat-sahabat Ulfah Jannah ku yang tercinta berserta sahabat-sahabatku semenjak di maktab dulu. Aku dapat merasakan betapa indahnya rasa di hati di saat aku melihat wajah sahabat-sahabatku yang hadir. Di wajah mereka tertera rasa gembira dan nyata menunjukkan rasa bersyukur dengan majlis ini...

Alhamdulillah...pada 6 Jamadilakhir 1436 Hijrah bersamaan dengan 27 Mac 2015 Masehi, selesai sudah Majlis Pengislaman buatku dan semua adik-beradikku serta ibu saudaraku dan anak perempuannya. Majlis berjalan dengan lancar dan semuanya dipermudahkan dengan izin Allah SWT jua. Rata-rata ahli keluarga dan hadirin yang hadir pada petang itu menyatakan bahawa hari itu hari berkat kerana hujan turun dengan lebatnya sewaktu kami melafazkan dua kalimah syahadah sedangkan waktu ini merupakan musim kemarau. Alhamdulillah~ :_) 

Dan sekarang, bermulalah kehidupanku sebagai seorang Muslimah :)

No comments:

Post a Comment