Wednesday, August 19, 2015

Terlafaznya dua kalimah syahadah...

بسم الله الر حمن الر حيم

Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

***

Suasana terasa sunyi sepi. Terasa gemuruh sedikit di hati. Keadaan cuaca di luar kelihatan mendung dan gelap, tanda-tanda hujan bakal turun tidak lama lagi. Keadaan di ruang tamu pula sedikit sesak dan para tetamu sedang duduk berasak-asak sesama sendiri. Terasa beberapa pasang mata sedang merenung ke arah kami. Aku yang pada awalnya sedang tunduk bermain-main dengan ibu jariku mengangkat kepalaku perlahan-lahan dan melihat para tetamu yang ada di hadapan kami. Rata-rata mereka sedang duduk mendiamkan diri. Menanti untuk acara majlis dimulakan. Di saat aku mulai mencari kelibat seseorang, mataku bertentangan dengan mata ayah saudaraku yang duduk tidak jauh dari situ. Dia merupakan adik kepada ayahku yang paling bongsu. Mungkin dia memahami keadaan isi hatiku yang agak gemuruh ketika itu. Dia tersenyum lantas menarik nafasnya perlahan-lahan, seolah-olah memberi signal untukku melakukan perkara yang sama. Aku membalas senyumannya dan turut menarik nafas panjang. Aku berasa tenang sedikit.

Tidak lama kemudian, kedengaran suara pegawai Pusat Dakwah Islamiah memulakan mukaddimah. Hujan sudah mulai turun. Renyai-renyai. Walaupun aircond di ruang tamu sudah terpasang beberapa jam sebelum majlis, tambahan pula hujan di luar, langsung tidak terasa hawa sejuknya. Mungkin kerana masing-masing  yang hadir turut merasa gemuruh. Aku yang duduk di sebelah ibu saudaraku dan juga adik perempuanku cuma tunduk diam mendengar setiap baris ayat yang keluar dari mulut pegawai tersebut. Ada kalanya dia tersekat apabila berbicara, mungkin dek kerana terasa gemuruh juga. Turut hadir di majlis itu merupakan Yang Berhormat di daerah tempat kelahiranku. Dan apabila tiba saat untuk orang pertama yang bakal melafazkan dua kalimah syahadah, iaitu adik lelakiku yang pertama, tiba-tiba terasa suasana di dalam ruang tamu itu begitu lain. Keadaan terasa sunyi yang amat sangat, sehinggakan tidak kedengaran titisan hujan yang turun dengan lebatnya. Terasa masing-masing yang hadir pada waktu itu sedang tekun mendengar setiap bait kata yang terlahir dari mulut adikku. Lancar saja dia melafazkan dua kalimah syahadah dan setiap baris ayat yang ada terkandung di dalam kertas putih di hadapannya. 

Setibanya giliran adik lelakiku yang bongsu pula. Mungkin kerana tidak tahan dengan rasa syahdu di hati, kedengaran suara esak tangisnya ketika dia perlahan-lahan melafazkan dua kalimah syahadah. Di saat itu juga, suasana agak syahdu sedikit dan mulalah airmata mengalir daripada orang sekeliling, termasuk aku. Aku cuma tersenyum mendengar suara adikku walaupun airmataku mengalir perlahan. Ya Allah… Bermacam-macam perasaan yang hadir pada ketika itu.

Dan di saat giliranku untuk melafazkan dua kalimah syahadah, hati ini terasa tenang. Lafazku lancar dan tidak tersekat. Terasa di dalam diri ini bagaikan mengalir sesuatu. Sesuatu yang membuatku terasa bagaikan hidup kembali setelah sekian lama terlena. Setelah sekian lama tercari-cari jalan untuk bangkit dari lena yang tidak memberi apa-apa kecuali gelap-gelita. Ternyata suasana di sekelilingku ketika itu terasa begitu asing. Terasa yang ada cuma diri ini dan Allah SWT. Dan terasa di ketika itu juga waktu bagaikan berhenti berputar. Dan seolah-olah aku terasa bagaikan ada cahaya yang terang dan menyejukkan sedang disinarkan ke tubuh ini. Terasa begitu damai sekali... Entah aku tidak tau lagi bagaimana untuk menerangkannya dengan kata-kata. Air mata terus mengalir perlahan di wajahku sehingga aku habis melafazkan dua kalimah syahadah.

Setelah ahli keluargaku yang ke enam siap sempurna melafazkan dua kalimah syahadah, kedengaran pula suara esak tangis daripada para tetamu. Esak tangis menandakan syukur ke hadrat Ilahi di atas kehadiran enam orang saudara baru di petang hari Jumaat yang berkat itu. “Alhamdulillah~” Kedengaran kalimat itu terlafaz dari bibir-bibir para tetamu yang hadir. Aku melihat kedua orang tuaku yang juga duduk tidak jauh dari situ tersenyum terharu. Jelas kelihatan airmata mengalir dari mata mereka… Airmata gembira dan bahagia kerana anak-anak mereka semuanya sudah bergelar Muslim dan Muslimah… Alhamdulillah Ya Allah…

Kini sudah hampir lima bulan berlalu namun setiap detik di Majlis Pengislaman kami masih dapat ku rasakan hingga kini. Malah aku tidak akan pernah melupakan saat-saat indah itu :’) Alhamdulillah~ Kini aku sudah semakin yakin dengan diriku sendiri dan aku benar-benar mencintai kehidupanku sebagai seorang Muslimah… Tidak ada kehidupan yang sempurna selain daripada kehidupan yang disinari dengan cahaya Islam. In sya Allah, perjuangan akan tetap aku teruskan demi menegakkan agama Allah... 

Thursday, August 06, 2015

Aku ingin jadi yang terbaik

بسم الله الر حمن الر حيم

Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Petang kelmarin, aku menerima pesanan melalui Whatsapp dari bapa saudaraku, meminta bantuan daripada keluarga untuk menemani 'packing' barang-barang di rumahnya kerana mereka sekeluarga diarahkan untuk berpindah dengan segera di atas sebab-sebab keselamatan. Ini kerana flat yang mereka diami mengalami kebakaran di tingkat bawah baru-baru ini. Alhamdulillah tidak ada korban jiwa dilaporkan tetapi tuan rumah (iaitu jiran kepada bapa saudaraku) dan sekeluarga mengalami kecederaan. Sebaik sahaja menerima pesanan itu, aku dan ibu saudaraku selajur melawat dengan niat untuk membantu keluarga bapa saudaraku.

Sebaik sahaja tiba di sana, aku cuma terdiam memerhatikan keadaan sekeliling yang agak suram. Alangkah rawannya hatiku melihat sisa-sisa kebakaran di tempat kediaman jiran mereka itu. Di mindaku mula terbayang saat-saat kebakaran. Ngeri. Seram. Lemas. Sakit. Bau asap di sana-sini. Api yang menjulang tinggi tanpa belas kasihan membakar apa saja yang mampu dicapainya. Sudah pasti yang difikirkan pada waktu itu hanyalah nyawa. Nyawa. Nyawa... Ya Allah... Kau berikanlah kekuatan dan ketabahan buat keluarga ini. Aamiin~ 

Pada malam itu, sambil menolong 'packing' apa-apa yang patut, sambil beraya, sambil itu juga kami berbual mengenai kehidupan. Pelbagai keluh-kesah dan kisah yang ku dengar daripada ibu saudaraku, yang merupakan kakak kepada bapa saudaraku. Sekali-sekala aku turut menyampuk perbualan mereka yang rata-rata membincangkan tentang masalah yang mereka hadapi. Kalau dulu aku tidak pernah memahami topik perbualan orang dewasa namun sekarang aku sudah dapat merasakan apa yang mereka rasa. Aku dapat menyelami perasaan dan keingauan mereka. Mungkin tidak terpancar di wajah namun di hati mereka hanya Allah yang tau. Ya Allah... Kau permudahkanlah urusan mereka, jangan Kau berikan mereka beban yang tak sanggup mereka pikul dan murahkanlah rezeki mereka selalu... Malam itu, aku dan ibu saudaraku menolong apa-apa yang patut. Alhamdulillah, so far, almost everything was settled. Hopefully my uncle and his family will get a permanent place as soon as possible.

*****

Akhir-akhir ini, aku banyak berfikir mengenai masa depanku dan keluargaku. Alhamdulillah, aku sudah mencapai umur dua puluh sembilan tahun dan so far, hidupku dilimpahi nikmat yang tidak terhingga. Sudah banyak impianku yang menjadi kenyataan dengan izin Allah jua. Mungkin impianku tidak sebesar impian orang lain namun aku sungguh berpuas hati dengan kurnia yang Allah beri kerana aku tahu Dia memberiku apa yang aku perlukan. Kadang-kadang rezeki itu datang tanpa di sangka-sangka. Kalau dulu, aku tidak begitu endah dengan apa yang sedang berlaku di sekelilingku. Yang ku fikirkan cuma aku, aku dan aku. Sekarang, aku sudah dapat memahami situasi sekeliling, lebih-lebih lagi keadaan ahli keluargaku sendiri. 

Melihat akan keadaan sekelilingku membuatku tekad dan semakin kuat semangat untuk menjadi yang terbaik dan menyumbang sebanyak yang ku mampu untuk keluargaku, terutama kepada kedua orang tuaku. Aku berazam untuk hidup demi membahagiakan mereka dan aku tidak mahu kehidupanku yang dulu mempengaruhi masa depanku. Aku dapat merasakan masa depanku sudah ada di dalam genggamanku dan aku berserah sepenuhnya kepada Allah SWT dengan setiap keputusan yang aku ambil. He knows what's best. Dan aku percaya, kurnia yang Allah berikan padaku tujuannya adalah untukku membantu mereka yang memerlukan bantuanku. I am happy to know and finally understand that :) Alhamdulillah~ In sya Allah, dengan pertolongan Allah jua, aku akan selalu mencuba yang terbaik. Semoga perjalananku akan sentiasa dipermudahkan jua. Aamiin~

*****

Dari Abu Hurairah yang diriwayatkan oleh Muslim (bermaksud): 

" Barangiapa yang meringankan salah satu dari kesusahan seorang mukmin di dunia, maka Allah akan meringankan salah satu kesusahannya di hari kiamat. Barangsiapa yang yang memudahkan (membantu dalam masalah hutang) orang yang mendapat kesusahan (berhutang), maka Allah akan memudahkan baginya di dunia dan akhirat. Barangsiapa yang menyembunyikan keaiban seorang Muslim lain, maka Allah akan menyembunyikan keaibannya di dunia dan akhirat. Allah menolong seorang hamba selagi hamba itu menolong saudaranya”.