Tuesday, December 29, 2015

Membawa hati duka

Aku memandang keluar jendela, menikmati keindahan cahaya bulan menyinari langit yang masih gelap. Baru sahaja aku selesai menunaikan solat fardhu Subuh. Hari itu merupakan hari kedua aku dan sahabat kesayanganku, El, berada di Kota Kinabalu, Sabah. Hatiku bertakbir berulang kali melihat pemandangan yang amat luar biasa indahnya. "Allahu akbar, Allahu akbar, Allahu akbar..." Aku merasa bertuah kerana Allah telah memberiku kesempatan untuk menikmati indahnya alam ciptaanNya. Di pagi Subuh itu, aku menyaksikan moonset dengan perasaan yang begitu tenang dan damai dari atas katilku. Kedudukan jendela bilik kami yang menghadap ke laut itu memberiku peluang untuk menghayati suasana yang begitu sunyi di ketika itu. Sekali-sekala aku teringat peristiwa semalam apabila aku dan El sama-sama mengalirkan airmata setelah berkongsi cerita mengenai perkara yang baru saja berlaku ke atas sahabat kesayanganku yang seorang ini. Beberapa hari sebelum itu, dia ada memberitahuku melalui WhatsApp dan mengajak aku untuk bermusafir agar dia dapat mengubat hatinya yang terluka. Kerana itulah, aku tanpa berbelah bahagi lagi terus menawarkan diri untuk menemani dirinya agar dia dapat mengurangkan sedikit sebanyak perasaan sedihnya. Alhamdulillah, Allah telah mengizinkan aku agar aku dapat menemaninya di waktu dukanya. Aku turut merasa terpukul dengan apa yang telah berlaku ke atas dirinya namun itulah kehendak Allah. Dia Maha Mengetahui. Aku hanya mampu mendoakan agar El bertemu dengan jodoh yang baik; seseorang yang mampu membimbing dan mendidik dirinya sebagaimana yang diimpikannya selama ini. In sya Allah, aamiin... Aku terlalu sayangkan El. Persahabatan kami yang terjalin sejak 13 tahun lalu tetap utuh hingga kini. Semoga persahabatan ini akan berkekalan hingga ke Jannah. In sya Allah, aamiin... 

Moonset @ 5:50 am. Pemandangan dari tingkat 10, Klagan Hotel, Warisan Square, KK.


"...Boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu, padahal itu baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal itu tidak baik bagimu. Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui"
Surah Al-Baqarah, ayat 216
AA.