Monday, June 27, 2016

Bicara hati

Airmataku mengalir deras. Entah mengapa di saat itu aku merasa sangat rindu. Rindu yang tidak terhingga, aku tak mampu melahirkan dengan kata-kata. Di dalam sendu, aku membaca perlahan-lahan surah Al-Fatihah. Diikuti dengan surah Al-Ikhlas. "Allahu Akbar," takbir terlafaz dari mulutku dan aku meneruskan solatku dengan penuh kusyuk. Hanya Allah sahaja yang tau perasaanku di ketika itu. Aku terlalu rindu. Rindu pada Allah. Dugaan, cubaan dan cabaran duniawi yang ku hadapi membuatku merasa sesak. Sempit. Senak. Aku hanya ingin bersendirian bersama Allah di ketika itu. Aku tak mau memikirkan apa-apa kecuali Allah. Aku merasa terlalu kerdil di saat itu. Rumah Allah yang sejuk berhawa dingin langsung tidak ku terasa. Entah, aku tak pasti dengan apa yang ku rasa pada waktu itu. Sedih, putus asa, tiada harapan... Semua fikiran negatif ada di dalam diriku. Aku merasa gelap, kosong, hilang arah...

Dan di ketika itulah, sewaktu aku masih di dalam solat, tiba-tiba aku merasa seakan-akan ada semangat yang mengalir di dalam diriku. Terasa sejuk...Degupan jantungku menjadi perlahan dan mulai stabil. Fikiranku mulai tenang. Pandanganku pula terasa terang. Hatiku berbisik dengan sendirinya, "Kasih sayang Allah melebihi kasih sayang seorang ibu". Berulang-ulang kali, hatiku berbisik ayat yang sama. "Kasih sayang Allah melebihi kasih sayang seorang ibu"... Di saat itu juga, aku merasa bagaikan dipujuk. Airmata yang mengalir deras tadi mulai perlahan. Ketegangan yang ku rasakan sebentar tadi mulai menghilang. Dan di ketika sujud terakhir, aku sujud lama. Memohon ampun dariNya. Panjang doaku. Airmataku mengalir lagi. Ketika itu aku dapat merasakan kasih sayang Allah mengalir di dalam diriku... Habis sahaja solat, aku benar-benar merasa lapang. Aku merasa bagaikan baru mendapat tenaga baru. Alhamdulillah...

Sepulangnya aku dari masjid, aku memandu dengan perlahan. Aku berfikir..betapa kecilnya hal-ehwal duniawi jika dibandingkan dengan kasih sayang dan pertolongan Allah yang Maha Esa. Allah memberi aku cubaan agar aku sentiasa dekat dengan-Nya. Allah memberi aku cabaran agar aku sentiasa sedar bahawa Allah sayang. Ya Allah, Alhamdulillah... Aku masih mampu bernafas lagi sehingga ke hari ini. In sya Allah, semoga hijrah ini akan membawaku ke syurgaMu ya Allah...

No comments:

Post a Comment