Sunday, July 17, 2016

Gugurnya sekuntum bunga

Aku duduk diam di dalam kereta. Tanganku terasa bagaikan tak mampu memusing steering wheel keretaku. Aku cuma memerhatikan beranda rumah Nenekku yang kosong dan sunyi. Hatiku digamit rasa sayu. Kalau sebelum ini, Nenek Bini akan berdiri di sana untuk menghantar cucunya pergi kerja dan melambaikan tangannya setiap kali aku mengundurkan keretaku, kini tiada lagi. Tiada lagi lambaian itu. Tiada lagi senyuman itu. Tiada lagi pesanan Nenek, “Yun, moncoi-moncoi manau ah”. Tiada lagi air Milo panas di atas meja dapur Nenek. Tiada lagi temanku minum pagi. Dan, tiada lagi suara Nenek… Air mataku tiba-tiba mengalir deras. Ketiadaan Nenek Bini membuat hidupku terasa kelam dan bungkam.

Hari ini sudah masuk 19 hari Nenek Bini meninggalkan kami namun hari yang sedih itu masih lagi terbayang-bayang di mindaku. Aku baru saja melangkahkan kaki keluar rumah untuk ke pejabat di saat aku menerima panggilan dari ibuku di kampung. Perasaanku di ketika itu kosong. Aku bagaikan tidak percaya bahawa hari sedih itu telah tiba. Namun, aku sudah lama tau hari itu akan tiba jua memandangkan kesihatan Nenek semakin hari semakin tidak mengizinkan.

Sehingga kini, aku bagaikan masih tidak dapat menerima ketiadaan Nenek Bini. Aku masih ingat kata-katanya ketika aku meminta izin untuk pulang ke Bandar. Masih sama pesannya, “Yun, moncoi-moncoi manau ah”. Itu lah pesannya yang terakhir buatku sebelum dia tidak lagi mampu berkata-kata. Padahal, ketika dia memberi pesanan itu, matanya langsung tidak terbuka. Suaranya perlahan. Pening katanya sebab itu dia tidak mampu membuka matanya.

“Unoh andih moncoi, moncoi kali ah,” kata Nenek apabila aku bertanyakan tentang temanku. Dia tersenyum, nampak sinar kebahagiaan di matanya. Aku tau, dia suka teman pilihan hatiku.
“Aku mimpi Eyun kawin,” selorohnya apabila aku bertanya mengapa dia tidur siang begitu lama pada suatu hari. Padahal pada waktu itu, Nenek sudah mulai menunjukkan tanda-tanda sakit yang tidak dapat dipulihkan lagi.
“Bakal cucuku noh,” katanya dengan bangga memberitahu saudara-saudaraku yang lain sewaktu aku membawa temanku berjumpa dengannya ketika kami meraikan hari keluarga di rumah.

Semua kenangan itu ku simpan di dalam hati. Tidak akan ku lupakan buat selamanya. Terlalu banyak kenanganku bersama Nenek Bini. Sejak aku kecil hinggalah dia menghembuskan nafasnya yang terakhir. Kerana itulah, Nenek Bini memainkan peranan besar di dalam hidupku… Alhamdulillah, kini jasad Nenek sudah selamat disemadikan di tanah tempat dia membesar, bersama-sama dengan arwah Datuk yang menjaganya sewktu dia kecil dahulu dan juga di samping arwah adik angkatnya yang meninggal muda kerana sakit di sekitar tahun 70-an.

Sekarang, aku dapat merasakan, hidupku sudah berubah. Terasa asing. Terasa kekurangan. Terasa kurang serinya. Aku merasa aku bagaikan ingin segalanya cepat berlalu tetapi aku sendiri tidak pasti apa sebenarnya yang aku inginkan untuk cepat berlalu. Aku bagaikan tidak sabar menanti hari esok kerana bagiku hari-hari kini terasa begitu sedih dan kelam. Tapi, aku tidak tau apa sebenarnya yang aku inginkan esok. Hari esok masih kabur di mataku. Aku merindukanmu Nenek... :'<