Monday, October 24, 2011

Hari Minggu Di Kampong Rambai (Bahagian 2)

     Kelihatan susuk tubuh seorang lelaki tua yang sedang membongkok di bawah rumah kayu yang sudah berumur lebih 50 tahun itu. Mungkin ada yang dicarinya. Kereta Swift berwarna silver perlahan-lahan menghampiri rumah itu lalu diberhentikan dekat dengan tangga rumah. Sebuah garaj yang memuatkan empat buah kereta telah dipenuhi. Belum pun sempat penumpang Swift turun, sudah mula kelihatan seorang wanita berumur 30-an di beranda rumah dengan wajah yang ceria. Lelaki tua di bawah rumah tidak mempedulikan kedatangan Swift tersebut kerana dia tahu bahawa cucu-cucunya dan kakak iparnya yang datang. 'Dila' la' ku ngintong soroh,' bisik hatinya lalu menyambung pekerjaannya.
                            
     "Bah, nakod, nakod!" kedengaran suara wanita tadi yang juga merupakan anak lelaki tua tadi.
     "Andih nggogol ta' asuh muyun noh Mom?" tanya tetamu yang sedang naik tangga sambil melihat empat ekor anjing berwarna hitam yang sedang bermain-main di bawah rumah. Alangkah besar dan garangnya anjing-anjing itu. Namun mereka langsung tidak peduli akan kedatangan tetamu malah terus bermain dan hanya melihat mereka yang datang dari jauh. Mungkin anjing-anjing itu telah kenal akan bau para tetamu dan pada mereka, tetamu-tetamu itu tidak mendatangkan bahaya.
     "Andih noh. Adong la' kow ngacau soroh," sahut Yamom, wanita itu. Wajahnya menyambut kedatangan tetamu-tetamu itu dengan penuh ceria dan mesra. Dia merasa amat gembira melihat kedatangan ibu saudaranya dan juga dua orang anak buahnya yang jarang dijumpainya. Pada masa yang sama, kelihatan pula tiga orang wanita pertengahan umur di dalam rumah yang merupakan kakak-kakak kepada Yamom. Mereka turut mempamerkan wajah yang ceria.
     'Ah, syok nya! Dapat nyaya durang nie. Hehe, ' bisik hati Adik, salah seorang daripada tetamu yang datang. Mereka semua dipersilakan duduk oleh Yamom dan disambut pula dengan wajah ceria isteri lelaki tua tadi, Nini Yamong. Terasa akan suasana yang begitu ceria dan gembira di dalam ruang tamu rumah itu. Kelihatan Egoi, adik kepada Yamom sedang sibuk di dapur dengan. Lalu, Noni, si tetamu pergi ke dapur dengan niat ingin berjumpa dengan ibu saudaranya yang seorang itu.

     "Hai Goi! Buleh ku ambil kucing ani?" tanya Noni kepada Egoi sambil mengangkat seekor kucing berwarna kuning. Bulunya panjang dan lebat dan berumur lebih kurang dua tahun.
     "Bawa tia. Belabih tu kucing ah," kata Egoi sambil menyusun beberapa ekor ayam dan ikan untuk disimpan ke dalam peti sejuk. Noni hanya berdiri melihat Egoi yang sedang sibuk sambil ditemani oleh dua orang pembantu rumah. Dia ingin menegur bapa saudaranya, Uncle Oldi yang sedang duduk minum teh tetapi dibatalkan niatnya. 
     "Tu nah Noni, ikan yang anti buat umai," sampuk Yalah, kakak kepada Egoi, sambil menunjukkan sepotong ikan yang dipegang oleh pembantu rumahnya, Siti. Noni lalu melihat ikan itu dan  tertanya-tanya akan nama ikan tersebut yang hanya dilabel dengan local fish oleh pasaraya. Hatinya tidak sabar untuk merasa umai yang dibuat oleh ibu saudaranya itu. Oleh kerana masing-masing sedang sibuk di dapur, Noni lalu keluar dan duduk di ruang tamu sambil menyaksikan perbualan di antara neneknya dan ibu saudaranya.

                                  *************

     Raut wajahnya yang sudah tua dan tidak sihat itu kuperhatikan dengan penuh kasih. Aku hanya duduk diam di atas sofa sambil memerhatikan nenekku, Nini Yamong bercerita. Dia baru sahaja memberitahuku bahawa dia tidak sihat dan susah untuk bangun. Kedatangan kami pada petang itu membuatkan dia kuat hati untuk bangun dan duduk di ruang tamu. 'Kesian nini,' bisik hatiku sambil mendoakan agar dia cepat sembuh. Nini Yamong merupakan adik kepada nenekku, iaitu Nini Mayang. Mereka jarang berjumpa kalau tidak ada perkumpulan keluarga jadi aku membawa Nini Mayang ke sini. Mana tahu, Nini Yamong kembali bertenaga setelah berjumpa dengan kakaknya. Lagi pun, kedatanganku ke mari adalah di atas jemputan Anti Yalah yang ingin memberikanku umai ikan yang dibuatnya tadi pagi. Memang aku tidak sabar ingin merasa hasil masakan ibu saudaraku itu. Sudah lama aku meminta resepi umai daripada dia tetapi aku belum punya masa untuk membuatnya. Memang rezekikulah agaknya pada hari itu apabila dia memberitahu dia membuatkan untukku makanan kegemaranku itu.

     Petang minggu itu aku menghabiskan masa bersama adikku dan nenekku berbual dan bermesra bersama keluarga Anti Yalah, yang merupakan sepupu sekali kepada ibuku. Sesekali kedengaran tawa dari ruang tamu yang sederhana besar itu apabila Anti Yamom berjenaka. Memang tidak kering gusi olehnya. Anti Yatung juga turut berada di rumah itu tidak lama selepas kami datang. Dia berjalan kaki bersama suaminya dan tiga orang cucunya dari rumahnya yang terletak hanya beberapa meter dari situ. Mungkin dia terlihat kereta yang banyak di hadapan rumah ibunya lalu datang menjenguk

     Nini Ayong baru sahaja naik ke rumah selepas bekerja di bawah rumah. Aku pun tidak pasti apa yang dilakukannya. Dia lantas duduk dan menyertai kami di ruang tamu. Uncle Oldi turut menyertai kami tidak lama kemudian. Air teh panas dan biskut yang dihidangkan oleh Anti Egoi begitu menyelerakan dan menambahkan lagi kehangatan suasana di rumah itu. Cuaca yang pada waktu itu mendung dan disertai oleh hujan rintik-rintik tidak menjejaskan keceriaan kami berbual dan berjenaka. Alangkah indahnya punya keluarga bahagia.

     Jam sudah menunjukkan pukul 6:30 petang apabila Nini Mayang membawa kami pulang. Sudah dua jam kami berada di sana tetapi tidak puas rasanya. Ingin lagi rasanya aku duduk lama-lama di situ bersama keluarga Anti Yalah yang ceria tetapi masa tidak mengizinkan. Sebelum kami pulang, Anti Yalah mengirimkan aku umai ikan yang dibuatnya. Dia juga berkirim salam kepada ibuku. Malah semua adik-beradiknya kirim salam kepada ibuku dan Unlce Oldi, suami kepada Anti Yalah berkirim salam kepada ayahku.

     Berat rasa kakiku untuk pulang tetapi memandangkan hari sudah semakin gelap, aku turutkan jua.Tambahan lagi, malam itu aku akan pulang ke bandar. Aku dan adikku bersalam dengan semua isi rumah.
     "Nini, adong semakit-semakit ah. Rajin-rajin makan, pebaik kediok, " pesanku pada Nini Yamong sambil mencium pipinya. Sayu hatiku melihat tubuhnya yang semakin kurus. 
     "O'..andih ku semakit-semakit tih, " ujarnya menenangkan hatiku. Aku tersenyum melihat dia tersenyum. Aku menyayanginya sama seperti aku menyayangi Nini Mayang. Suasana di rumah itu mula terasa seperti kurang ceria sebaik sahaja kami melangkah kaki menuruni anak tangga. Hampir semua isi rumah berada di beranda dan melihat Swift silver perlahan-lahan menuju ke simpang keluar. Hari Minggu yang begitu santai di Kampong Rambai. Aku akan ke sini lagi.

No comments:

Post a Comment