Monday, November 12, 2012

Tanya hati, tanya minda.

"Vaccinate yourself against excusitis, the disease of failures" (Schwartz, 1959). 

Apa itu excusitis? Dr. David J. Schwartz, di dalam bukunya, The Magic of Thinking Big, ada menerangkan bahawa excusitis ialah sejenis 'penyakit' minda yang menghalang kita daripada berjaya. Singkatnya, excusitis ialah sikap yang suka memberi alasan. Excusitis boleh muncul di dalam pelbagai jenis tapi di antara yang paling teruk ialah: health excusitis, intelligence excusitis, age excusitis dan luck excusitis.

 Health excusitis: Menjadikan kesihatan sebagai alasan. Contoh: "Saya ada penyakit X. Tak mungkin saya mampu membuatnya"

Intelligence excusitis: Kadar kepintaran sebagai alasan. Contoh: "Saya bukannya ada ijazah pun. Tak mungkin saya boleh berjaya dalam hidup"

Age excusitis: Umur sebagai alasan. Contoh: "Saya sudah tua. Tak mungkin saya boleh buat begini"

Luck excusitis: Menyalahkan nasib. Contoh: "Saya memang sentiasa tidak bernasib baik. Saya takkan mampu buat itu semua"

Sumber: Schwartz, D.J., (2007). The Magic of Thinking Big. 3rd ed. New York, USA: Prentice-Hall Inc.

******

Semua ini merupakan di antara perkara yang sering kita keluh-kesahkan. Kita suka menyalahkan itu, menyalahkan ini sedangkan kita jarang atau mungkin tidak pernah bertanya atau mencuba apa yang kita fikir kita tak mampu buat. Memang, tidak ada manusia yang sempurna, kecuali Rasulullah SAW. Setiap seorang di antara kita memang ada cacat celanya. Hanya yang membezakan di antara orang yang berjaya dan tidak berjaya ialah corak pemikiran dan daya ketahanan mereka di dalam menghadapi pelbagai dugaan dan cabaran yang mendatang. Ada yang mengalah sebelum mencuba. Ada yang tumbang sebelum berusaha. Ada yang berpaling sebelum sempat mencari jalan keluar.

"Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman”, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta. " (Surah Al-'Ankabut, ayat 2-3).

Setiap ujian yang datang dalam hidup ini bukannya musibah yang perlu diratap tangis malah ia merupakan satu pengajaran dan peringatan agar kita sentiasa kuat dan tabah serta ingat akan adanya Allah tempat kita mengadu. Walau sebesar mana pun ujian yang melanda, Allah memberinya kerana Dia ingin mengajar kita untuk terus berusaha dan bertahan demi mencapai keredhaan-Nya. Sedang Nabi Muhammad SAW lagi ditimpa dengan pelbagai musibah besar sejak baginda diputerakan hinggalah baginda wafat namun baginda tetap kuat dengan pertolongan-Nya.

Setiap ujian yang hadir juga bukannya untuk menghancurkan harapan kita di dalam hidup malah sebagai pelajaran bagi kita untuk mengetahui mana yang baik dan mana yang buruk. Setiap ujian yang Allah datangkan merupakan peringatan bagi kita agar tetap kembali pada-Nya. Berusaha, bekerja dan berdoa pada-Nya. Janganlah kita mengeluh kerana mengeluh itu boleh membawa pada kemurkaan-Nya. Mengeluh boleh membawa kepada sikap tidak bersyukur dan tidak menerima pemberian Allah sedangkan setiap pemberian Allah itu merupakan seindah-indahnya nikmat yang kita dapat di dalam hidup, kan? 

"Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya..." (Surah Al-Baqarah, ayat 286).

"...dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya" (Surah Al-Baqarah, ayat 216).

So, there is no reason why we can't succeed in life. Bak kata Zizan Razak, "Sebelum kita kecundang, kita usaha dulu". Kata-kata Zizan inilah yang sentiasa tersemat di dalam hatiku hingga kini. Hehehe~
Bersyukurlah kita masih boleh bernafas kerana di saat ini, 
ada yang sedang nazak berdepan malaikatulmaut. 

Bersyukurlah kita masih mampu tersenyum kerana di saat ini,
ada yang sedang mengalirkan airmata.

Bersyukurlah kita masih mampu merasa kenyang kerana di saat ini,
ada yang sedang terseksa kebuluran.

Bersyukurlah kita masih mempunyai pancaindera untuk menikmati keajaiban dunia kerana di saat ini,
ada yang tidak mampu menggerakkan tubuhnya hatta sedikit pun.

Bersyukurlah kita masih mempunyai kesihatan kerana di saat ini,
ada yang hidup bergelumang ubat dan mesin penyambung nyawa.
 
Jadi, apa alasan kita untuk tidak berjaya?
Tanya hati, tanya minda :)

No comments:

Post a Comment