Suasana di dalam ruang tamu waktu itu begitu sesak. Ramai tetamu yang datang berkunjung ke Upacara Makan 14 Hari arwah nenek sebelah Mummy. Hm... Ibu saudara Mummy.. Kira neneklah tu. Waktu itu, aku duduk bersama empat orang sepupuku yang masih kanak-kanak. Lela, Nana, Diding dan Dani. Dani duduk teranah bermain dengan handphone. Game, biasalah tu. Aku bercerita dengan Lela mengenai sekolah barunya. Nampak dia memang suka belajar di sekolah barunya itu. Tahun ini, dia baru sahaja memasuki Tahun 7 di Sekolah Menengah Tanjong Maya. Dari segi percakapannya, gadis yang berumur 12 tahun itu sudah mula menampakkan tanda-tanda kematangannya. Aku memang sentiasa kagum dengan perkembangan sepupu-sepupuku ini yang dahulunya kanak-kanak, hanya tahu bermain, sekarang sudah mula memasuki alam remaja.
Lela petah bercerita mengenai aktiviti-aktiviti mereka di sekolah. Aku mendengar dengan penuh minat. Manakala Nana dan Diding, yang merupakan adik kepada Lela, hanya mendengar kami bercerita. Mengantuk agaknya mereka. Jam waktu itu baru menunjukkan pukul 8:30 malam. Aku yang menyedari hal itu mula mem-provoke mereka dengan satu soalan yang membuatkan mereka berfikir sejenak.
"Lela, sudah basar kau mau jadi apa?" aku mula bertanya soalan itu kepada Lela.
"Aku mau jadi cigu," jawab Lela dengan yakin. Aku hanya tersenyum mengangguk. Tanda suka. Bagus, bagus, bisik hatiku.
"Diding macamana?" lalu ku alihkan pertanyaan itu kepada adik perempuannya yang bongsu.
"Ahh..kaka jadi apa?" Diding bertanya pula pada Lela. Aku menjelaskan padanya bahawa Lela ingin menjadi seorang cikgu.
"Aku pun mau jadi cigu," balasnya sambil tersenyum. Aku tersenyum lagi sambil memandang wajah bulat anak gadis yang baru sahaja berumur 7 tahun itu. Comel wajahnya. Dengan lesung pipit di kiri kanan pipinya, siapa sahaja yang melihatnya tentu merasa geram. Aku mengangguk tanda setuju.
"Bagus, Lela sama Diding mau jadi cigu. Nana?" aku memberi semangat kepada mereka lalu bertanya pula kepada Nana. Nana merupakan adik kepada Lela, dan kakak kepada Diding.
"Hm...apa namanya tu Ka?" tanya Nana pula pada kakaknya. Belum pun sempat Lela menjawab, Diding terus menyampuk, "Pramugari!"
Aku terkejut sebentar. Betul ke?
"Ah, stewardess," sahut Lela lagi. Nana menganggukkan kepala, mengiyakan.
Aku bertanya lagi pada Nana, "Mengapa stewardess?"
"Pasal stewardess lawa," jawab Nana sambil tersenyum girang.
Wah, kembang hatiku mendengar. Bagus. Sepupu-sepupuku yang kecil begini sudah ada cita-cita yang tinggi. Aku memang tidak menyangka Nana akan menjawab sebegitu. Ya, memang dia cantik. Secantik Lela dan Diding. Mereka semua mempunyai lesung pipit yang comel, mata yang bundar dan senyuman yang manis. Mirip ibu mereka yang berketurunan Cina. Hanya bentuk wajah, hidung dan fesyen rambut sahaja yang membezakan wajah ketiga-tiga anak gadis ini.
Namun, jawapan Nana mengenai cita-citanya itu membuatku terfikir. Aku masih ingat sewaktu ibunya dahulu menelefonku, menagih janji dariku untuk menamakan anaknya yang baru sahaja dilahirkannya pada hari itu. Sewaktu aku memberi nama pada anak itu, aku berdoa di dalam hati agar anak ini membesar menjadi seorang gadis yang cantik, berbudi bahasa dan rajin serta menyayangi keluarganya. Sepuluh tahun sudah berlalu dan sekarang, doaku itu ternyata telah dimakbulkan. Nana memang seorang gadis yang cantik. Dia pandai menjaga dirinya serta dia seorang yang hormat pada orang tua. Begitu juga dengan Lela dan Diding. Aku kagum dengan didikan ayah dan ibu mereka sehingga mereka mempunyai karakter hebat seperti itu. Insya Allah, aku juga akan punya anak sehebat itu.
Aku lalu memberitahu pada mereka agar rajin belajar supaya cita-cita masing-masing boleh tercapai. Pada Nana, aku pesan agar mesti pandai berenang sebab pramugari mesti pandai berenang. Aku usik dia, "Nanti Kaka sama Lela sama Diding jalan ke Singapore, Nana hidangkan kami minuman ok?" Pecah ketawa kami. Ah, bahagia rasanya mendengar suara mereka ketawa. Sesekali terbayang di mindaku zaman mereka masih lagi bergelar anak damit. Aku sudah puas menggendong dan bermain dengan mereka. Zaman itu sudah berlalu. Masing-masing sudah membesar. Hatiku hanya berdoa agar mereka dan sepupu-sepupuku yang lain akan berjaya di dalam hidup mereka. Amin...
No comments:
Post a Comment