Hati ini tenang. Ibarat sebatang sungai yang mengalir airnya. Begitu perlahan dan lancar. Hanya sesekali berkocak apabila dedaunan jatuh dari pepohon yang tumbuh subur di tebingnya. Hanya sesekali airnya menghasilkan gelombang kecil apabila hidupan yang ada di dalamnya beramah mesra bersama alam. Air sungai itu terus mengalir, tidak sedikit pun ia terganggu. Tidak sedikit pun ia peduli. Malah ia terus memberikan suasana yang nyaman untuk segala makhluk yang berdekatan.
Indahnya perasaan ini. Nikmatnya terasa amat mendalam hingga ke kalbu. Sekali gus membuatkan minda ini berfikiran lancar dan tenang. Segala masalah yang ada bagaikan lenyap dengan sendirinya. Hati yang gundah kini terasa aman tenteram. Minda yang kusut kini terasa lapang. Wajah yang layu kini terasa serinya. Bibir mula mengukir senyuman. Mata terasa bersinar kembali. Hidup terasa lapang. Luas. Alangkah nikmatnya!
Mungkin apa yang berlaku sebelum ini adalah ujian dariNya semata-mata. Dia ingin melihat sejauh mana diri ini boleh bersabar. Dia ingin menguji sekuat mana hati ini berhadapan musibah. Dia ingin menguji seteguh mana iman teguh berdiri. Alangkah kerdilnya diri ini...
Hati memanjatkan rasa syukur yang tidak terhingga. Syukur kerana dikurnia nikmat sebegitu rupa. Nikmat ketenangan yang payah diperolehi di mana-mana di dunia. Hanya Dia sahaja yang mampu memberikan nikmat tenang sebegini. Alhamdulillah....
Dan hanya Dia sahaja yang mampu menarik balik nikmat ini.
Dan hanya Dia sahaja yang mampu menarik balik nikmat ini.
Firman Allah s.w.t yang bermaksud: “Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali. Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmat-Nya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayah-Nya.” (Al-Baqarah, ayat 155-157)
Image source : Google Image |
No comments:
Post a Comment