Aku
duduk diam di dalam kereta. Tanganku terasa bagaikan tak mampu memusing
steering wheel keretaku. Aku cuma memerhatikan beranda rumah Nenekku yang
kosong dan sunyi. Hatiku digamit rasa sayu. Kalau sebelum ini, Nenek Bini akan
berdiri di sana untuk menghantar cucunya pergi kerja dan melambaikan tangannya
setiap kali aku mengundurkan keretaku, kini tiada lagi. Tiada lagi lambaian
itu. Tiada lagi senyuman itu. Tiada lagi pesanan Nenek, “Yun, moncoi-moncoi
manau ah”. Tiada lagi air Milo panas di atas meja dapur Nenek. Tiada lagi
temanku minum pagi. Dan, tiada lagi suara Nenek… Air mataku tiba-tiba mengalir
deras. Ketiadaan Nenek Bini membuat hidupku terasa kelam dan bungkam.
Hari
ini sudah masuk 19 hari Nenek Bini meninggalkan kami namun hari yang sedih itu masih
lagi terbayang-bayang di mindaku. Aku baru saja melangkahkan kaki keluar rumah
untuk ke pejabat di saat aku menerima panggilan dari ibuku di kampung.
Perasaanku di ketika itu kosong. Aku bagaikan tidak percaya bahawa hari sedih
itu telah tiba. Namun, aku sudah lama tau hari itu akan tiba jua memandangkan kesihatan Nenek
semakin hari semakin tidak mengizinkan.
Sehingga
kini, aku bagaikan masih tidak dapat menerima ketiadaan Nenek Bini. Aku masih
ingat kata-katanya ketika aku meminta izin untuk pulang ke Bandar. Masih sama
pesannya, “Yun, moncoi-moncoi manau ah”. Itu lah pesannya yang terakhir buatku
sebelum dia tidak lagi mampu berkata-kata. Padahal, ketika dia memberi pesanan
itu, matanya langsung tidak terbuka. Suaranya perlahan. Pening katanya sebab
itu dia tidak mampu membuka matanya.
“Unoh
andih moncoi, moncoi kali ah,” kata Nenek apabila aku bertanyakan tentang
temanku. Dia tersenyum, nampak sinar kebahagiaan di matanya. Aku tau, dia suka
teman pilihan hatiku.
“Aku
mimpi Eyun kawin,” selorohnya apabila aku bertanya mengapa dia tidur siang
begitu lama pada suatu hari. Padahal pada waktu itu, Nenek sudah mulai
menunjukkan tanda-tanda sakit yang tidak dapat dipulihkan lagi.
“Bakal
cucuku noh,” katanya dengan bangga memberitahu saudara-saudaraku yang lain
sewaktu aku membawa temanku berjumpa dengannya ketika kami meraikan hari
keluarga di rumah.
Semua
kenangan itu ku simpan di dalam hati. Tidak akan ku lupakan buat selamanya.
Terlalu banyak kenanganku bersama Nenek Bini. Sejak aku kecil hinggalah dia
menghembuskan nafasnya yang terakhir. Kerana itulah, Nenek Bini memainkan
peranan besar di dalam hidupku… Alhamdulillah, kini jasad Nenek sudah selamat disemadikan
di tanah tempat dia membesar, bersama-sama dengan arwah Datuk yang menjaganya
sewktu dia kecil dahulu dan juga di samping arwah adik angkatnya yang meninggal
muda kerana sakit di sekitar tahun 70-an.
Sekarang,
aku dapat merasakan, hidupku sudah berubah. Terasa asing. Terasa kekurangan. Terasa kurang serinya. Aku
merasa aku bagaikan ingin segalanya cepat berlalu tetapi aku sendiri tidak
pasti apa sebenarnya yang aku inginkan untuk cepat berlalu. Aku bagaikan tidak
sabar menanti hari esok kerana bagiku hari-hari kini terasa begitu sedih dan
kelam. Tapi, aku tidak tau apa sebenarnya yang aku inginkan esok. Hari esok
masih kabur di mataku. Aku merindukanmu Nenek... :'<
No comments:
Post a Comment