Setiap kali aku melihat kanak-kanak kecil bermain, tertawa dan menangis, aku merasa begitu terhibur. Dengan wajah yang comel, mulut yang mungil, jari-jemari yang kecil dan halus, mereka adalah ciptaan Tuhan yang begitu indah. Di mana-mana saja aku pergi, kalau aku melihat kanak-kanak kecil, hatiku mula tersentuh. Terasa sayang itu di hati. Alangkah bahagianya ibu dan ayah mereka. Sebuah anugerah Tuhan yang terindah buat mereka. Pelengkap hidup bagi sebuah ikatan perkahwinan.
Hatiku sedih sekiranya menerima berita tentang penderaan, pengabaian dan kes-kes pembuangan anak serta pembunuhan yang kejam. Ke manakah hilangnya moral masyarakat itu? Sifat kemanusiaan mereka? Bukankah anak-anak itu merupakan tanggungjawab yang diamanahkan oleh Tuhan? Anak-anak ini lahir suci, tidak berdosa. Mereka yang masih kecil, belum tahu membezakan baik buruknya kehidupan. Tanggungjawab kita lah yang mendidik mereka dengan sebenar-benarnya pendidikan. Pendidikan dunia dan akhirat. Biar mereka tahu. Biar mereka faham. Apa sebenarnya erti hidup ini.
Jangan dipersalahkan anak itu sekiranya mereka membuat silap tapi berilah mereka tunjuk ajar agar mereka tidak mengulanginya lagi. Jangan pula dihina sekiranya anak itu banyak kekurangannya kerana di sebalik kekurangan, sentiasa ada kelebihan yang orang lain tidak mampu meraihnya. Sesungguhnya setiap anak itu terlahir unik. Setiap anak itu terlahir indah. Dan setiap anak itu terlahir penuh dengan keajaiban. Keajaiban yang boleh menggoncang dunia.
![]() |
| baby-pictures.com |
Jika anak dibesarkan dengan celaan,
dia akan belajar memaki.
Jika anak dibesarkan dengan cemuhan,
dia akan belajar rendah diri.
Jika anak dibesarkan dengan permusuhan,
dia akan belajar berkelahi.
Jika anak dibesarkan dengan hinaan,
dia akan belajar menyesali diri.
Jika anak dibesarkan dengan dorongan,
dia akan belajar percaya diri.
Jika anak dibesarkan dengan pujian,
dia akan belajar menghargai.
Jika anak dibesarkan dengan rasa aman,
dia akan belajar menaruh kepercayaan.
Jika anak dibesarkan dengan dukungan,
dia akan belajar menyenangi diri sendiri.
Jika anak dibesarkan dengan kasih sayang dan persahabatan,
dia akan belajar menemukan cinta dalam hidupnya.
Jika anak dibesarkan dengan toleransi,
ia akan belajar menahan diri.
Jika anak dibesarkan dengan sebaik-baiknya perlakuan,
dia akan belajar keadilan.
Sumber puisi : http://luqmanhafifi.blogspot.com/2012/01/anak.html

