Wednesday, January 11, 2012

Babah dan Mummy~

Pagi itu cuaca terasa begitu redup dan sejuk. Cahaya mentari sudah mula menampakkan tanah dan segala tumbuhan yang ada. Keadaan rumah sudah mula sibuk dengan persediaan untuk pergi ke sekolah dan ke tempat kerja. Aku lihat jam dinding di dapur. Baru sahaja menunjukkan pukul 6:30 pagi. Aku duduk menghadap juadah sarapan pagiku bersama Babah dan Moni. Mummy sedang bersiap untuk menyertai kami. Soni pula sedang duduk di ruang tamu, menonton siri kartun Tom and Jerry sementara menunggu bas sekolahnya datang. Adik masih bersiap di biliknya.

Aku sedang menikmati teh panas apabila kedengaran bas sekolah Soni datang di hadapan simpang rumah. Babah yang waktu itu sedang menikmati hidangan oatmeal nya tiba-tiba saja berhenti makan dan meletakkan sudunya di mangkuk lantas keluar dari dapur. Aku terpana seketika. Rupa-rupanya dia mengejar Soni sebelum Soni naik bas. Salam di tangan dan lambaian. Itu saja. Untuk Soni sebelum dia pergi ke sekolah. Setelah bas itu perlahan-lahan meninggalkan rumah, Babah kembali ke tempat duduknya dan menyambung kembali sarapannya. Dia lantas bercerita dan memberi kami teka-teki. Demi menghiburkan pagi kami. Dan aku tahu, dia hanya ingin melihat kami tertawa.

Entah mengapa hal yang singkat itu membuat hatiku tersentuh. Begitu dalamnya kasih sayang Babah pada kami sekeluarga. Apa lagi Mummy. Aku rasa begitu bersyukur kerana dikurniakan kedua ibubapa yang begitu penyayang dan memahami. Aku amat bahagia kerana kasih dan sayang yang diberi oleh mereka telah menjadikan kami semua berpendidikan tinggi. Hidup kami cukup serba-serbi. Apa yang dipinta, tetap akan disediakan. Selagi apa yang dipinta itu demi kebaikan kami, Babah dan Mummy tidak akan menghalang. Kerana kasih sayang mereka juga lah kami membesar dan semakin matang seperti sekarang. Sesungguhnya tiada dapat kami balas kasih dan sayang mereka melainkan hanya menggembirakan dan mendoakan mereka sentiasa... Semoga keluarga kami akan sentiasa dibawah rahmat-Mu, Yang Maha Mengasihi lagi Maha Penyayang...

No comments:

Post a Comment