Sunday, January 29, 2012

Siapa yang kaya sebenarnya?

Hujan turun rintik-rintik. Suasana kampus agak lengang. Kelihatan beberapa orang mahasiswa dan mahasiswi melangkahkan kaki untuk pulang. Masing-masing dengan hala tuju sendiri. Ada yang ke kereta, ada yang ke asrama. Jam sudah menunjukkan pukul 5 petang. Aktiviti ECA Day petang itu sudah terlaksana dengan jayanya. Masing-masing yang terlibat menunjukkan wajah puas hati.

Di pondok perhentian bas, kelihatan enam orang mahasiswa dan mahasiswi sedang duduk di sebuah  bangku panjang berwarna biru. Rancak mereka bercerita. Tiga lelaki, tiga perempuan. Sahabat satu kursus agaknya. Sesekali mereka tertawa. Nampak mesra di antara mereka. Mungkin sedang membincangkan hal-hal pelajaran mereka atau pun hanya berbual kosong. Semua mereka hanya berbaju polo dan berseluar jeans.

Tidak jauh dari situ, di sudut bangku yang satu lagi, kelihatan seorang mahasiswi duduk berseorangan. Berjubah hitam, bercorak bunga berwarna merah di kaki dan mengenakan tudung labuh berwarna hitam, mulutnya kelihatan kumat-kamit. Tangan kirinya memegang sebuah al-Quran bersaiz kecil. Dan jari-jemari di tangan kanannya digerakkan seolah-olah dia sedang menghafal sesuatu. Wajahnya kelihatan begitu tenang dan bersih. Sesekali wajahnya di angkat melihat kereta yang datang. Orang yang dinanti belum tiba.

Selang beberapa minit kemudian, sebuah kereta sports berjenama mewah berwarna hitam berkilat bergerak perlahan menuju ke pondok itu. Si gadis berjubah melihat lagi. Lalu, menundukkan kembali wajahnya. Bukan kereta yang dinanti. Tiga orang lelaki dari enam sahabat tadi masuk ke kereta. Dan rakan-rakan perempuan mereka mula berangkat pulang. Kereta itu terus berhenti di situ. Si pemandu keluar menuju ke pintu utama kampus. Ada hajat agaknya.Tidak lama kemudian, si pemandu kembali. Dan kereta hitam itu perlahan-lahan meninggalkan kawasan kampus. Agak garang juga kereta itu. Sungguh bergaya.

Si gadis berjubah hitam masih duduk di tempat yang sama. Sesekali dia mendongak ke langit. Melihat rintik-rintik hujan yang kian lebat. Namun, mulutnya masih tetap kumat-kamit menghafal surah-surah yang dibacanya. Lebih kurang lima minit kemudian, sebuah kijang tua berwarna biru muda bergerak perlahan menuju ke pondok perhentian bas itu. Si gadis berjubah hitam lantas berdiri dan mengangkat beg yang penuh berisi dengan buku dan nota kuliah. Kijang tua berhenti tepat di hadapannya. Kelihatan kereta itu sudah terlalu usang. Dengan cat biru yang sudah luntur dan tercalar, cermin yang sudah kekuning-kuningan, memang sah, kereta itu sudah terlalu berusia. Manakala jendela di bahagian pemandu dan penumpangnya dibuka menunjukkan alat penghawa dinginnya tidak lagi berfungsi.

Si pemandu merupakan seorang lelaki tua berkopiah putih. Ayah kepada si gadis berjubah hitam. Ada seorang anak gadis kecil berumur di dalam lingkungan empat ke lima tahun. Bertudung dan berbaju kurung. Adik kecil si gadis berjubah hitam. Kelihatan dia begitu gembira melihat kakaknya yang mula menaiki kereta itu. Dan tidak lama selepas pintu penumpang ditutup, Kijang tua itu mula berlalu pergi.

Hati ini terdetik dan terkesan selepas menyaksikan peristiwa yang berlaku di hadapan mata. Peristiwa yang hanya berlaku selama lima belas minit. Namun, jelas hati ini memandang lebih jauh. Mulalah minda berfikir. Siapa yang kaya sebenarnya? Mereka yang mempunyai kereta mewah tadi kah atau mereka yang hanya menaiki Kijang tua? Mereka yang hanya berbual tadi kah atau dia yang menghayati Kitabullah? Mereka yang berbaju berjenama kah atau dia yang berjubah menutup aurat? Siapa yang kaya sebenarnya?

Image source : atacamaphoto.com

2 comments:

  1. :') awih, persoalan yg sering bermain di fikiranku. Byk duit = kaya d dunia. Byk amalan = kaya di akhirat. Ramai urg tau dh jawapannya, tp nda ramai yg mencari kekayaan di akhirat :( . Mudh2an tani tergolong dlm golongan org2 yg masuk k syurgaNya. Amin~

    ReplyDelete
  2. :)))) Amin Amin Amin~~ :')))

    ReplyDelete