Wednesday, August 19, 2015

Terlafaznya dua kalimah syahadah...

بسم الله الر حمن الر حيم

Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

***

Suasana terasa sunyi sepi. Terasa gemuruh sedikit di hati. Keadaan cuaca di luar kelihatan mendung dan gelap, tanda-tanda hujan bakal turun tidak lama lagi. Keadaan di ruang tamu pula sedikit sesak dan para tetamu sedang duduk berasak-asak sesama sendiri. Terasa beberapa pasang mata sedang merenung ke arah kami. Aku yang pada awalnya sedang tunduk bermain-main dengan ibu jariku mengangkat kepalaku perlahan-lahan dan melihat para tetamu yang ada di hadapan kami. Rata-rata mereka sedang duduk mendiamkan diri. Menanti untuk acara majlis dimulakan. Di saat aku mulai mencari kelibat seseorang, mataku bertentangan dengan mata ayah saudaraku yang duduk tidak jauh dari situ. Dia merupakan adik kepada ayahku yang paling bongsu. Mungkin dia memahami keadaan isi hatiku yang agak gemuruh ketika itu. Dia tersenyum lantas menarik nafasnya perlahan-lahan, seolah-olah memberi signal untukku melakukan perkara yang sama. Aku membalas senyumannya dan turut menarik nafas panjang. Aku berasa tenang sedikit.

Tidak lama kemudian, kedengaran suara pegawai Pusat Dakwah Islamiah memulakan mukaddimah. Hujan sudah mulai turun. Renyai-renyai. Walaupun aircond di ruang tamu sudah terpasang beberapa jam sebelum majlis, tambahan pula hujan di luar, langsung tidak terasa hawa sejuknya. Mungkin kerana masing-masing  yang hadir turut merasa gemuruh. Aku yang duduk di sebelah ibu saudaraku dan juga adik perempuanku cuma tunduk diam mendengar setiap baris ayat yang keluar dari mulut pegawai tersebut. Ada kalanya dia tersekat apabila berbicara, mungkin dek kerana terasa gemuruh juga. Turut hadir di majlis itu merupakan Yang Berhormat di daerah tempat kelahiranku. Dan apabila tiba saat untuk orang pertama yang bakal melafazkan dua kalimah syahadah, iaitu adik lelakiku yang pertama, tiba-tiba terasa suasana di dalam ruang tamu itu begitu lain. Keadaan terasa sunyi yang amat sangat, sehinggakan tidak kedengaran titisan hujan yang turun dengan lebatnya. Terasa masing-masing yang hadir pada waktu itu sedang tekun mendengar setiap bait kata yang terlahir dari mulut adikku. Lancar saja dia melafazkan dua kalimah syahadah dan setiap baris ayat yang ada terkandung di dalam kertas putih di hadapannya. 

Setibanya giliran adik lelakiku yang bongsu pula. Mungkin kerana tidak tahan dengan rasa syahdu di hati, kedengaran suara esak tangisnya ketika dia perlahan-lahan melafazkan dua kalimah syahadah. Di saat itu juga, suasana agak syahdu sedikit dan mulalah airmata mengalir daripada orang sekeliling, termasuk aku. Aku cuma tersenyum mendengar suara adikku walaupun airmataku mengalir perlahan. Ya Allah… Bermacam-macam perasaan yang hadir pada ketika itu.

Dan di saat giliranku untuk melafazkan dua kalimah syahadah, hati ini terasa tenang. Lafazku lancar dan tidak tersekat. Terasa di dalam diri ini bagaikan mengalir sesuatu. Sesuatu yang membuatku terasa bagaikan hidup kembali setelah sekian lama terlena. Setelah sekian lama tercari-cari jalan untuk bangkit dari lena yang tidak memberi apa-apa kecuali gelap-gelita. Ternyata suasana di sekelilingku ketika itu terasa begitu asing. Terasa yang ada cuma diri ini dan Allah SWT. Dan terasa di ketika itu juga waktu bagaikan berhenti berputar. Dan seolah-olah aku terasa bagaikan ada cahaya yang terang dan menyejukkan sedang disinarkan ke tubuh ini. Terasa begitu damai sekali... Entah aku tidak tau lagi bagaimana untuk menerangkannya dengan kata-kata. Air mata terus mengalir perlahan di wajahku sehingga aku habis melafazkan dua kalimah syahadah.

Setelah ahli keluargaku yang ke enam siap sempurna melafazkan dua kalimah syahadah, kedengaran pula suara esak tangis daripada para tetamu. Esak tangis menandakan syukur ke hadrat Ilahi di atas kehadiran enam orang saudara baru di petang hari Jumaat yang berkat itu. “Alhamdulillah~” Kedengaran kalimat itu terlafaz dari bibir-bibir para tetamu yang hadir. Aku melihat kedua orang tuaku yang juga duduk tidak jauh dari situ tersenyum terharu. Jelas kelihatan airmata mengalir dari mata mereka… Airmata gembira dan bahagia kerana anak-anak mereka semuanya sudah bergelar Muslim dan Muslimah… Alhamdulillah Ya Allah…

Kini sudah hampir lima bulan berlalu namun setiap detik di Majlis Pengislaman kami masih dapat ku rasakan hingga kini. Malah aku tidak akan pernah melupakan saat-saat indah itu :’) Alhamdulillah~ Kini aku sudah semakin yakin dengan diriku sendiri dan aku benar-benar mencintai kehidupanku sebagai seorang Muslimah… Tidak ada kehidupan yang sempurna selain daripada kehidupan yang disinari dengan cahaya Islam. In sya Allah, perjuangan akan tetap aku teruskan demi menegakkan agama Allah... 

No comments:

Post a Comment