بسم الله الر حمن الر حيم
Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh,
***
Aku merenung keluar jendela teksi sambil menikmati suasana kampung yang kami lintasi. Sekali sekala aku menangkap gambar keadaan di sana yang bagiku begitu unik. Jam pada waktu itu baru sahaja menunjukkan pukul 7:30 pagi. Teksi tua yang kami naiki menyusur dengan perlahan menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Mahmud, Kuala Terengganu. Keadaan jalan raya sedikit lengang, tidak banyak kereta. “Jangang maing-maing. Anak pok cik cantik tau! Kulik diyo putih. Dok macang pok cik. Kulik gelak,” ujar pak cik teksi bersungguh-sungguh. Pekat loghat Terengganunya. Pecah tawaku dan sahabat baikku, Ana, setelah mendengar statement mahal daripada pak cik tersebut. “Amboi, diyo ketawe pulok,” sambung pak cik itu lagi, lantas tertawa, mungkin juga geli hati melihat kerenah kami berdua. Pak cik yang berumur di dalam lingkungan pertengahan 50-an itu terus bercerita mengenai anak lelakinya yang berumur 25 tahun yang kini sedang bekerja offshore sebagai seorang supervisor. Aku dan Ana cuma mendengar cerita beliau yang tidak habis-habis memanjatkan syukur kerana mempunyai seorang anak yang rajin berusaha walaupun kelulusannya hanya setakat SPM sahaja. Dia memberitahu bahawa anaknya mempunyai impian yang besar dan ingin menunjukkan pada orang-orang di kampungnya; tidak semestinya belajar tidak tinggi, tidak boleh berjaya. Pak cik teksi seraya memberitahu kami bahawa rezeki itu Allah yang bagi, kita manusia tidak punya hak untuk menentukan rezeki orang. Sekiranya mempunyai keinginan, Allah akan tolong. Aku cuma terdiam sambil tersenyum mendengar hujah pak cik yang penuh bermakna itu. Ku sematkan nasihatnya itu kemas-kemas di dalam hati.Melintas Masjid Kristal. Kelihatan cahaya dari matahari pagi yang sedang naik. |
Kata-kata pak cik itu membuatku mengimbas kembali tujuanku dan Ana untuk bermusafir ke negeri Terengganu Darul Iman, salah sebuah negeri di Malaysia yang terkenal dengan pulau-pulau yang cantik serta pantainya yang indah nan bersih. Ini merupakan kali kedua aku menjejakkan kaki ke negeri pantai timur itu. Begitu juga Ana. Sebelum ini, kami menjejakkan kaki ke sana dengan tujuan lain, sekarang kami punya tujuan yang sama. Sebelum ini, tujuan kami cuma bercuti, makan angin. Masing-masing bersama kumpulan rakan-rakan yang lain pada waktu itu. Pada tahun ini pula, hanya kami berdua. Bercuti sambil “bekerja”.
***
Pada 7 September, 2015; hari Isnin, aku dan Ana berlepas menuju ke Kuala Lumpur, Malaysia dengan membawa satu tugasan, mewakili team Ulfah Jannah. Bukit Bintang merupakan destinasi pertama kami di Kuala Lumpur, hanya sebagai persinggahan semalaman pelepas lelah untuk kami sebelum bertolak ke Kuala Terengganu pada keesokkan harinya.
Pada 8 September 2015, hari Selasa, pukul 9:20 pagi, aku dan Ana berlepas menuju ke destinasi sebenar kami iaitu Kuala Terengganu, Terengganu. Kami menaiki Air Asia yang cuma mengambil masa lebih kurang 50 minit. Alhamdulillah, setibanya di sana, kami di sambut baik oleh Nadiah, seorang sahabat yang dihantar oleh Bonda Nor untuk membawa kami terus ke Perpustakaan Awam Kuala Terengganu. “Tak bagi chance rehat langsung mak cik ni!” gurau Nadiah dan Ana. Aku turut tertawa mendengar gurauan mereka tentang Bonda Nor. Aku cuma mengenali Bonda Nor melalui hasil penulisan beliau yang pernah aku baca sebelum ini; Sahaja Aku Jatuh Cinta, dan juga melalui media sosial. Beliau merupakan seorang penulis novel tarbiyah dan sudah pernah menghasilkan beberapa buah buku yang mendapat sambutan begitu menggalakkan. Ini adalah kali pertama aku akan bertemu beliau dan I didn’t know what to expect! Nervous, excited and happy at the same time. Setibanya kami di perpustakaan, aku sudah terlihat kelibat Bonda Nor dari jauh. Tinggi lampai orangnya. Manis juga. Beliau menyambut kami dengan senyuman dan dakapan mesra. “Yani! Eee! Sukanya!” itulah di antara kata-kata awal yang terucap dari bibir wanita itu sebaik sahaja dia mendakapku erat. Aku dapat merasakan aura yang begitu positif dan mesra darinya sekali gus membuatku rasa kehadiranku di sana sangat-sangat diterima dan dihargai. Alhamdulillah~
Pada petang itu, aku dan Ana menghabiskan masa kami di perpustakaan dengan video editing short film ‘Jodoh Dalam Botol’ yang bakal ditayangkan pada hari pelancaran buku hasil tulisan Bonda Nor sendiri, iaitu Ahmad Ammar, Kau MilikNya. Dan bila tiga kepala bertemu jadi satu, maka tercetuslah konflik idea yang menimbulkan lagi idea-idea baru dan menambahkan lagi keterujaan kami untuk terus menghabiskan video editing pada petang itu juga. Sekali-sekala pecah berderai tawa kami sehinggakan ditegur oleh pengawal perpustakaan kerana mengganggu ketenteraman perpustakaan. Mohon maaf pak cik pengawal. Kami lupa bahawa kami sedang bekerja di dalam perpustakaan awam. Dan pada petang itu juga short film tersebut terus ditayangkan sebagai rehearsal untuk majlis yang sebenarnya. Alhamdulillah, rehearsal berjalan dengan lancar dan masing-masing terasa begitu teruja menantikan hari esok.
Editing sedang dijalankan. |
Perbincangan sedang rancak dijalankan |
Pada malam pertama kami di Terengganu, aku dan Ana cuma menghabiskan masa berehat di hotel dan menikmati makan malam di salah sebuah restoran yang berdekatan. Salah satu sebab aku begitu mencintai negeri Terengganu selain daripada penduduknya yang peramah serta suasananya yang sederhana ialah makanannya yang begitu menepati citarasaku. Bagiku, asinnya, pedasnya, masamnya, manisnya… Semuanya just nice…
Pada 9 September, 2015, hari yang dinantikan telah tiba. Back in Brunei, Universiti Brunei Darussalam sedang mengadakan Majlis Konvokesyen kali ke 27 sementara kami di Terengganu pula menghadiri acara forum Bicara Tokoh Ada Apa dengan Ammar yang diselajurkan dengan Majlis Pelancaran buku hasil karya Bonda Nor. Yang paling istimewanya pada forum ini ialah kehadiran ayahanda dan bonda Allahyarham Ahmad Ammar sebagai penalis forum. Banyak ilmu yang dapat ku kutip di sepanjang sesi perkongsian tersebut. Bonda Nor selaku moderator yang bersahaja dan santai telah berjaya mencuit hati para penonton yang rata-rata adalah para penuntut pra-universiti. Alhamdulillah, aku bersyukur sangat-sangat kerana Allah telah memilih aku untuk berada di sana. Ini bukan kebetulan, semuanya memang dirancang oleh Allah jua. Kehadiranku ke forum ini memang tepat pada masanya Di saat aku masih lagi belajar mendalami dan menyelami agama Islam. Sungguh, terasa diri ini kerdil sekali. Terasa kosong dan gersang jika dibandingkan dengan mereka. Masih banyak lagi ilmu yang perlu aku dalami untuk benar-benar menjadi seorang Muslimah yang sejati...
Seusainya majlis pada pagi itu, aku dan Ana pulang ke hotel. Petang itu kami berjanji bersama Nadiah dan seorang lagi sahabat, Atie, untuk berjalan-jalan santai di Kuala Terengganu. Alhamdulillah, cuaca begitu mengizinkan. Aku dan Ana dapat menikmati suasana yang begitu tenang di sana. Kami sempat singgah di Masjid Kristal sebentar dengan niat ingin mencari kepok lekor yang ada berjual di kawasan sana. Namun, nasib tidak menyebelahi kami bila warung yang dituju telah pun tutup. Di akhir petang itu pula, Bonda Nor membawa kami menikmati nasi kerabu di sebuah warung. “Ni mesti Yani yang mengidam nasik kerabu. Budak-budak ni pelek lah!” usik Bonda Nor apabila Atie memberitahunya kami teringin makan nasi kerabu. Aku cuma tertawa. Betul, memang aku mesti makan nasi kerabu kalau pergi ke Terengganu. Apa lagi kepok lekor. Kedua-dua makanan ni memang wajib dimakan kalau ke sana. Sampai sekarang aku masih dapat rasa keenakkan kedua makanan kegemaranku ini. Dan, pada malam itu, di warung nasi kerabu, aku telah belajar cara makan menggunakan tangan. Bukannya aku tidak pernah makan menggunakan tangan sebelum ini tapi aku selalu berasa kekok. Bonda Nor menerangkan padaku bahawa makan menggunakan tangan itu sunnah Nabi. Dia juga ada menerangkan mengenai kajian saintifik makan menggunakan tangan. Aku diusik lagi kerana makan terlalu sopan. Sungguh, aku merasa terhibur berada di kalangan mereka.
Di antara beberapa orang penuntut yang mengambil kesempatan untuk bergambar dengan ayahanda dan bonda Allahyarham Ahmad Ammar |
Bersama Bonda Nor, cikgu Atie, Cikgu Nadiah, bonda dan ayahanda Allahyarham Ahmad Ammar |
Malam itu, aku dan Ana tidur lebih awal sedikit berbanding sebelumnya kerana keesokkan harinya, kami mesti bertolak dari hotel seawal jam 7 pagi memandangkan penerbangan kami ke Kuala Lumpur pada jam 7:40 pagi. Sambil mengemaskan barang untuk pulang, kami berbincang dan berkongsi mengenai pengalaman kami sepanjang berada di sana, terutama ilmu yang kami perolehi dari forum yang kami hadiri. Alhamdulillah, perjalanan kami pada kali ini betul-betul bermakna dan penuh dengan kenangan manis yang tak mungkin akan dilupakan...
Selamat tinggal Kuala Terengganu! Hello Kuala Lumpur! |
***
Lamunanku terhenti apabila teksi yang membawa kami berhenti di hadapan pintu masuk lapangan terbang. Sudah sampai rupanya. Perjalanan yang mengambil masa lebih kurang setengah jam itu memberi peluang untukku berfikir mengenai pengalaman musafirku pada kali ini. Alhamdulillah, dengan izin Allah jua, aku telah mendapat sebuah pengalaman yang begitu indah untuk ku abadikan di dalam hidupku; lebih-lebih lagi aku telah berkongsi pengalaman ini bersama sahabat baikku, Ana.
Setibanya kami di Kuala Lumpur, aku dan Ana terus menaiki KL Express menuju ke KL Central dan kemudiannya menaiki RapidKL menuju ke KLCC, tempat persinggahan terakhir kami sebelum pulang ke Negara Brunei Darussalam pada malamnya. Selepas sahaja menikmati makanan tengahari dan menunaikan solat jama’, aku dan Ana menghabiskan masa kami di Aquaria KLCC. Di sana, aku dan Ana menikmati keindahan kehidupan di bawah laut. Allahu Akbar, sungguh indahnya makhluk ciptaan Allah…
Dua orang lelaki Jepun sedang asyik memerhatikan seekor pari |
Malam itu, aku dan Ana menaiki Royal Brunei dengan perasaan yang bercampur-baur. Gembira, teruja, puas hati, bahagia, sedih, sebak dan pelbagai lagi apabila mengenangkan percutian kami yang singkat tapi penuh makna. Alhamdulillah… In sya Allah, semoga akan dipertemukan lagi dengan percutian yang seterusnya.
Jemput tonton shortfilm "Jodoh Dalam Botol" hasil usaha 3 pengarah dari 3 negara: Brunei, Malaysia dan Singapore.
In sya Allah, ada rezeki, Ulfah Jannah akan kembali. |
Jemput tonton shortfilm "Jodoh Dalam Botol" hasil usaha 3 pengarah dari 3 negara: Brunei, Malaysia dan Singapore.
#UlfahJannah : Perjuangan Dakwah Tak Pernah Lelah
No comments:
Post a Comment