بسم الله الر حمن الر حيم
Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh,
***
Kakiku melangkah perlahan keluar dari wad 25. Fikiranku terlalu kusut pada waktu itu. Entah, mungkin terlalu letih kerana sepanjang hari aku sibuk dengan hal-ehwal dunia. Baru sahaja aku selesai melawat nenekku kerana kecederaan kaki yang dialaminya setelah terjatuh di tandas. Alhamdulillah, nenek sudah dapat berjalan menggunakan tongkat tetapi beliau masih mendapatkan rawatan fisioterapi untuk menguatkan kakinya.
Belum jauh aku melangkah keluar dari wad itu, aku terdengar suara seorang wanita seperti sedang bernaindung. Keadaan koridor yang sunyi itu membuatkan suara halusnya bergema. Tidak jauh dari situ, aku terlihat seorang wanita berusia sedang menggendong anak kecil yang sedang tidur. Di sebelahnya pula seorang lelaki muda sedang berdiri dengan tenang sambil memerhatikan wajah anak kecil tadi dengan penuh kasih sayang. 'Mungkin nenek dan ayah kepada anak itu,' bisik hati kecilku.
Perlahan aku melangkahkan kakiku menuju ke arah mereka kerana lif berada tidak jauh situ. "Laailaa ha'ilallah~" Wanita itu berzikir perlahan dengan alunan yang merdu ke telinga anak tadi. Dia berzikir tanpa henti dengan suara yang tenang dan syahdu. Tiba-tiba saja hatiku terdetak. Entah apa yang membuatkan aku berasa sangat-sangat tersentuh dengan apa yang kusaksikan di depan mataku di saat itu. Tanpa ku sedari, airmataku berlinang bila mendengar suara wanita tadi. "Allahu akbar...astaghfirullahal'adzim" hatiku berbisik. Aku berjalan melintasi anak-beranak itu sambil menundukkan kepalaku, khuatir mereka ternampak mataku yang sembap. "Ya Allah..." bisik hatiku lagi.
Di saat itu juga hatiku mula terasa tenang dan fikiranku mula terasa lapang. Tidak seperti sebelum aku tiba di hospital; kepalaku penuh sesak, membuatkan hatiku berasa tidak tenteram. Fikiranku terlalu kusut sehingga aku sampai ke satu tahap yang membuatku tidak mampu lagi untuk berfikir. Namun, dengan izin Allah, aku diperlihatkan dengan keadaan anak-beranak tadi. Sekelip mata saja, hatiku terubat. Sungguh indah apa yang Allah perlihatkan padaku di ketika itu... Alhamdulillah.... Alhamdulillah... Alhamdulillah...
"(iaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingat Allah hati menjadi tenteram"
Surah Ar-Ra'd, ayat 28.
No comments:
Post a Comment